Masalah Internet Di Beberapa Kampung Di Setiu Selesai Bulan Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIU – Masalah liputan internet yang kurang memuaskan bagi sesetengah tempat di Setiu dijangka bakal menemui titik pengakhiranya penghujung bulan ini..

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, banyak tindakan telah dilakukan sejak 2019 bagi menyelesaikan hal itu termasuk membawa isu terbabit ke Dewan Parlimen. 

“Menara baharu di Kampung Rhu Sepuluh sudah ‘on air’ pada bulan Mei yang lepas, ia akan memanfaatkan penduduk sekitar sejauh dua kilometer.

“Pada akhir julai ini, insya-Allah penduduk sekitar Kampung Hulu Seladang, Kampung Payung dan kampung sekitar akan menikmati liputan 4G. Kampung-kampung lain dalam senarai akan menyusul selepas ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2022.

“Projek pembinaan menara ini telah bermula sejak setahun yang lepas,” katanya ketika ditemui UPDI di sekitar lawatan tapak pembinaan menara baru di Kampung Rhu Sepuluh bersama dengan Pengurus Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Terengganu pada pagi tadi.

Katanya lagi, mengikut laporan terbaru SKMM, pembinaan menara baru di bawah program JENDELA yang diluluskan pada akhir tahun lepas untuk seluruh kawasan Parlimen Setiu ialah sebanyak 15 tempat.

“Sekarang dalam proses perlantikan kontraktor oleh kementerian terbabit,” jelasnya.

Mengulas tentang proses menaiktaraf pemancar di 78 tempat, Shaharizukirnain memaklumkan proses pemasangan secara berperingkat oleh syarikat komunikasi dilantik sedang giat dijalankan. 

“Segala usaha ini memakan masa kerana melibatkan beberapa pihak, oleh itu saya memohon agar penduduk Setiu bersabar,” tambah beliau.

Sumber: TRDI News