Masih Ramai Tak Tahu Ada Talian 997 Untuk Aduan Penipuan – KPN

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) belum diketahui secara meluas dalam kalangan masyarakat walaupun penubuhannya mendapat sambutan baik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya juga dimaklumkan masih ada segelintir masyarakat yang ragu-ragu dengan nombor hotline 997 yang disediakan NSRC untuk orang ramai membuat aduan.

“Nombor talian 997 diperkenalkan oleh NSRC yang diketuai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi lain.

“Tujuan nombor talian ini adalah untuk mengurangkan kesan penipuan yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, mana-mana individu yang terpedaya dan sudah melakukan transaksi, boleh membuat panggilan di talian 997 untuk pihak berkuasa mengambil tindakan menyekat aliran keluar wang dalam akaun terbabit.

“Setakat ini, waktu operasi NSRC dari jam 8 pagi hingga 8 malam, namun orang ramai yang membuat panggilan pada jam 10 malam, tiada respon daripada NSRC.

“Sehubungan itu, kita akan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi NSRC itu sehingga 24 jam,” katanya.

NSRC ditubuhkan bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.

NSRC menggabungkan kerjasama PDRM, BMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian.

Sumber: BERITA HARIAN