Putrajaya: Meskipun sudah lebih setahun Malaysia berdepan pandemik Covid-19, masyarakat masih gagal memahami keperluan sekatan pergerakan, yang bertujuan mengekang risiko penularan dari satu tempat ke tempat lain.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, segelintir orang awam di Putrajaya cuba membolos sekatan jalan raya (SJR) dengan merosakkan penghadang jalan, ‘blinker’, membuka laluan alternatif serta memandu secara lawan arus, selepas 10 jalan bersempadan Selangor ditutup sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), pada 1 Jun lalu.
“Kami dapati laluan alternatif dibuat penduduk tinggal bersempadan Putrajaya seperti Dengkil untuk masuk ke pusat pentadbiran.
“Di Jalan 7G menghala masuk Putrajaya Sentral, kami dapati banyak kenderaan melawan arus untuk keluar ke arah Puchong, kerana jalan keluar telah ditutup.
“Sekatan di beberapa jalan, namun orang awam masih mencari ruang untuk memudahkan perjalanan dan melepasi SJR ditetapkan.
“SJR bukan bertujuan menyusahkan orang ramai, tetapi mengurangkan risiko penularan dan melindungi kawasan daripada jangkitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di beberapa kawasan masih menjadi laluan keluar masuk orang awam ke Putrajaya dari kawasan bersempadan Selangor, antaranya Dengkil, Puchong, Bangi dan Kajang, di sini hari ini.
Selain itu, Mohd Fadzil berkata, tinjauan di Taman Cabaran Presint 5 mendapati, ‘laluan tikus’ di sempadan Tanah Perkuburan Presint 20 mendapati, motosikal dan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan mencari laluan terdekat untuk memasuki Putrajaya.
Beliau berkata, selain itu berlakunya perbuatan vandalisme terhadap penghadang jalan dan ‘blinker’ yang dipecahkan kerana rasa kurang puas hati dengan penutupan jalan.
Menurutnya, tindakan orang awam itu boleh disiasat mengikut Seksyen 269/270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai atau jahat yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mengeluarkan 16 kompaun sejak SPP dilaksanakan pada 1 Jun apabila pada Jumaat sebanyak tujuh kompaun kerana merentas negeri dan daerah tanpa surat sah dan kebenaran, dan semalam enam saman trafik terhadap individu memandu melawan arus.
“SJR di empat lokasi mendapati kesesakan berikutan 10 jalan susur keluar Putrajaya ditutup, dan ini menunjukkan tindakan itu wajar dalam membolehkan pemeriksaan lebih rapi di SJR, serta memastikan pergerakan keluar masuk orang awam lebih terkawal dengan surat kebenaran rasmi dan urusan kecemasan,” katanya.
Mohd Fadzil berkata, empat lokasi SJR statik di Putrajaya terletak di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang (Presint 12) dan Pintu 3 Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong (Presint 9).
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk Putrajaya dan orang awam supaya bersabar sehingga 14 Jun ini serta memahami keperluan penutupan jalan dan SJR, dalam usaha membendung risiko penularan Covid-19, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan.
“Kami kesal atas tindakan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang menggunakan laluan khas untuk petugas barisan hadapan di SJR untuk mengelakkan sekatan dan mempercepatkan perjalanan.
“Polis tidak menghalang orang awam memasuki Putrajaya, namun perlu menunjukkan surat kebenaran rentas sah.
“Pada masa sama, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang bukan tergolong sebagai petugas barisan hadapan dinasihati merancang perjalanan dengan baik dan mengikuti setiap peraturan ditetapkan,” katanya.
Sumber: My Metro