Masjid Kampung Laut, Masjid Tertua di Malaysia terletak di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Masjid Kampung Laut pada zaman dahulu

Masjid Kampung Laut dibina pada abad ke-18 tepatnya pada tahun 1730. Masjid ini unik kerana ia telah berusia sekitar 300- 500 tahun dan lebih menarik ia diperbuat daripada kayu cengal dan dibina tanpa menggunakan paku. Menurut sesetengah pendapat Masjid Kampung Laut ini merupakan antara masjid yang tertua jika dibandingkan dengan Masjid Agung Demak yang terdapat di Pulau Jawa.

Asal Usul Masjid Kampung Laut

Terdapat beberapa sumber yang berbeza yang menyatakan bagaimana Masjid Kampung Laut ini wujud:

Sumber pertama

Sumber ini disampaikan oleh seorang sejarawan tempatan, En Nik Man bin Nik Mat yang mendakwa kewujudan masjid tersebut dapat disusul sehingga ke nenek moyangnya iaitu Raja Imam yang dikatakan membina Masjid Kampung Laut. Menurut beliau, kira kira 400 tahun dahulu terdapat seorang Putera dari Sri Wijaya yang beragama Islam yang bernama Syed Mahmud, yang juga digelar RajaMuda Laksamana. Putera ini telah belayar keluar dari tanah Jawa selepas berlaku pergaduhan yang berpunca dari perebutan kuasa atas pemilihan raja.

Dalam pelayaran baginda ini, kapalnya telah dilanda ribut kencang dan terdampar di Pantai Selatan Siam. Sebahagian dari pengikutnya bermastautin ditepi pantai manakala sebahagian lagi menjelajah ke darat dan bertemu sebuah kampung kecil bernama Kampung Laut. Syed Mahmud yang menukar namanya kepada Raja Iman membina masjid yang pada asalnya dikatakan berupa sebuah wakaf terbuka atau pondok kecil.

Sumber kedua

Sumber kedua pula disampaikan oleh cendikiawan bernama Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi. Beliau dikatakan mengumpul sejarah lisan penduduk bersama kajiannya dan menyimpulkan bahawa masjid tersebut dibina 500 tahun dahulu oleh pendakwah-pendakwah Champa. Mereka dikatakan berasal dari pulau Jawa yang membawa bersama pelan prototaip binaan masjid dengan tujuan membina tiga pusat Islam serantau.

Abd Rahman Al-Ahmadi mendakwa bahawa komponen binaan masjid-masjid itu telah dibawa bersama dalam pelayaran mereka untuk dibina di tapak yang ditentukan. Dua daripadanya di Timur Pulau Jawa yang salah satunya dikenali dengan Masjid Agung Demak. Manakala Masjid Kampung Laut merupakan masjid pertama yang didirikan oleh mereka sebelum mereka mendarat di Pulau Jawa.

Dengan ini menjadikan masjid Kampung Laut merupakan masjid terawal yang dibangunkan berbanding Masjid Agung Demak dan sebagai masjid terawal di rantau kepulauan Melayu.

Sumber Ketiga

Sumber ketiga yang disampaikan oleh Abdullah bin Muhammad yang tinggal di Kampung Langgar Kota Bharu. Beliau mendakwa bahawa masjid tersebut didirikan oleh wali Songo (sembilan) bernama Sunan Giri dan Sunan Bonang. Adalah dipercayai yang kedua-dua ahli Sufi dari Pulau Jawa tersebut telah berguru dengan Syaikh Mohammad Saman. Syaikh Mohamad Saman dikatakan telah mengarah mereka untuk membina masjid tersebut dan ia dibina dalam bentuk yang lengkap beserta empat tiang utamanya dengan 12 tiang sokongan disekelilingnya

Senibina dan Ukiran Masjid Kampung Laut

Keseluruhan Masjid Kampung Laut ini dibina dari  kayu cengal manakala kekemasan bumbung menggunakan jubin singgora,. Di dalam masjid ini terdapat dewan sembahyang,  mimbar, balai lintang, serambi, wakaf dan loteng.

Balai lintang mempunyai bumbung berbentuk lima dan kedudukannya diantara dewan sembahyang dan serambi besar.

Wakaf pula adalah ruangan bagi Jemaah duduk berehat dan berbual-bual ketika selesai menunaikan solat. Bahagian ini dibina berasingan tetapi paras lantainya disamakan dengan serambi sisi.

Loteng merupakan tempat untuk beruzlah atau mengasingkan diri bagi tujuan bermunajat kepada Allah S.W.T.

Dipercayai tukang yang membina mimbar tersebut khususnya ukiran-ukiran kayu berkenaan terdiri lebih dari seorang tukang yang mahir. Hasil kepakaran mereka itu dicantumkan menjadi mimbar yang bersejarah yang sangat halus seni pahatnya. Motif-motif ukiran seni pahat pada mimbar tersebut adalah jenis ‘salur bayur dan ‘daun ketumbit’ dengan ukiran bentuk timbul (pahat terus). Sebahagian daripada ukiran itu dicat dengan warna perada emas (keemasan)

Menurut Mubin Sheppard dalam tulisannya menyatakan ; “Many old timber mosques in Kelantan, Trengganu and Patani contained flowered panels and pulpits carved in high relief.”

Bentuk mimbar dan seni ukir menggambarkan kebijaksanaan cendikiawan tempatan dan ‘pandai ukir’ Melayu Kelantan yang tinggi nilainya.

Masjid Kampung Laut Diletakkan Di Tempat Asal

Masjid ini pernah mengalami banjir besar pada tahun 1926 dan 1966,dan sebagai Langkah berjaga-jaga, atas usaha Persatuan Sejarah Malaysia, Masjid ini berjaya dipindahkan dan kerja-kerja baik pulih telah dilakukan atasnya pada tahun 70-an bagi menyelamatkannya daripada ditenggelami banjir.

Namun, Masjid ini dipindahkan ke tempat asal semula agar masjid ini boleh direkodkan sebagai warisan oleh Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Tempat asalnya ialah di Kampung Laut, Tumpat.

Pemindahan ini dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri, ECERDC, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia, Muzium Kelantan dengan jarak sejauh 22 kilometer (km) dari Nilam Puri ke Kampung Laut.

Rujukan :

  1. Tesis Bab 3 : Ruang Dalaman Masjid Tradisional : Masjid Semenanjung