Masjid sediakan kaunter pendaftaran vaksin Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Inisiatif Masjid Kubang Parit bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam menyediakan kaunter pendaftaran vaksin Covid-19 di masjid harus menjadi contoh.

Lebih 100 penduduk setempat berdaftar di kaunter yang disediakan masjid itu sejak disediakan semalam.

Pengerusi Masjid Kubang Parit Razak Md Noor berkata, pihaknya bersama pejabat Dun Wakaf Mempelam terdorong menyediakan kaunter itu selepas menyedari masih ramai penduduk yang tidak berdaftar.

“Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan pihak kami, penduduk khususnya warga emas bukan golongan anti vaksin atau enggan berdaftar.

“Tetapi golongan warga emas itu tidak memiliki kemudahan telefon bimbit dan MySejahtera.

“Mereka tidak tahu cara mendaftar, oleh itu kami mengambil inisiatif bagi memberi kemudahan kepada mereka. Terbukti ia benar apabila lebih 100 penduduk berdaftar di kaunter berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia akan berbincang dengan pejabat Dun Wakaf Mempelam untuk menyediakan kaunter itu selepas solat tarawih.

“Masih ramai yang hendak berdaftar tetapi mereka tidak dimaklumkan awal, oleh itu kaunter itu perlu juga disediakan selepas solat sunat tarawih pada setiap malam.

“Kewujudan kaunter itu sekali gus mendorong semua penduduk berdaftar termasuk golongan muda yang selama ini menganggap ia tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.

Menurutnya, ramai pihak yang memuji inisiatif yang diambil pihak masjid bersama pejabat Dun Wakaf Mempelam itu dan ia perlu diteruskan pada setiap masa.

Sumber: My Metro