Lipis: Perjalanan sejauh 50 kilometer (km) dengan menaiki pacuan empat antara cabaran getir yang dihadapi petugas kesihatan untuk sampai ke kampung Orang Asli bagi menjayakan Program Outreach Vaksinasi (POV) Covid-19.
Perjalanan yang mengambil masa antara dua hingga tiga jam melalui jalan balak dengan bentuk muka bumi berbukit ditempuhi 20 petugas terdiri daripada jururawat, pegawai kesihatan dan doktor.
Bagi Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Sungai Koyan, Dr Rafidah Mahmud, semangat yang menebal dan keyakinan pada diri perlu ada pada setiap petugas untuk menghadapi apa juga cabaran.
Beliau selaku pakar rujukan POV daerah ini berkata, demi tugas dan tanggungjawab amanahkan, apa juga halangan perlu dihadapi dengan misi memberi vaksin Covid-19 kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman.
“Perjalanan yang jauh bukan sahaja memenatkan tetapi turut menyebabkan rasa tidak selesa sakit anggota badan apabila terlalu lama berada dalam kenderaan.
“Namun demi tanggungjawab dan kepentingan menjaga kesihatan pada masyarakat Orang Asli, rombongan kami tetap berusaha untuk sampai ke kampung terbabit,” katanya.
Beliau ditemui pada POV di Kampung Meter di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, kelmarin.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi.
Program berkenaan membabitkan seramai 20 jururawat, pegawai kesihatan dan doktor dari Klinik Kesihatan Betau.
Program bermula 16 Jun lalu memerlukan mereka menjelajah kesemua kampung masyarakat Orang Asli di daerah ini.
Dr Rafidah berkata, rombongan mereka akan bertolak pagi dan balik lewat petang setiap kali ke kampung pedalaman.
“Walaupun penat namun kami berpuas hati dapat berbakti pada masyarakat Orang Asli yang kini mula menerima vaksin Covid-19 secara sukarela,” katanya.
Sumber: My Metro dan Berita Harian