Masuk Laluan Bertentangan Elak Kesesakan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEREMBAN – Pemandu kereta yang dirakam menggunakan laluan bertentangan di Persiaran Senawang 1, berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Seremban-Tampin, di sini, semalam, sudah menyerah diri malam tadi.

Tindakan lelaki berusia 29 tahun itu yang sedang memandu Proton Waja berada di laluan bertentangan dipercayai memotong barisan ketika jalan sesak di lampu isyarat berkenaan telah tular di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki itu telah tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban malam tadi dan mengaku melakukan kesalahan berkenaan.

“Kami mengesan satu pautan di media sosial yang memaparkan tindakan seorang pemandu kereta berwarna emas yang dipercayai melakukan kesalahan mengabaikan isyarat lalu-lintas dan memotong kenderaan lain di garisan berkembar.

“Pada jam 11.30 malam, Unit Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban telah mengesan dan memanggil pemandu kenderaan berkenaan untuk hadir ke Balai Trafik IPD Seremban.

“Hasil siasatan pemandu berkenaan mengaku bersalah kerana melakukan kesalahan terbabit seperti dinyatakan dalam pautan yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan saman mengikut Kaedah 12(3) LN 167/59 telah diambil terhadap lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori itu kerana memotong di garisan berkembar dan Seksyen 79(2) APJ kerana mengabaikan isyarat lalu-lintas.

Sumber: HARIAN METRO