Mata Fasha Sandha Beransur Pulih, Discaj Hospital Hari Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha dibenarkan keluar hospital hari ini selepas ditahan selama lapan hari bagi menerima rawatan berhubung kecederaan yang dialami di bahagian mata kirinya.

Fasha berkata, keadaan fizikal di bahagian luar mata kiri dan bengkak yang dialami semakin beransur pulih walaupun berlaku keretakan tulang, masalah tisu dalaman dan darah beku.

“Walaupun begitu, saya tetap bersyukur sebab mata kanan masih sihat sempurna dan banyak lagi nikmat kebaikan yang diberikan kepada saya daripada ujian ini.

“Saya dah boleh discaj hari ini, Alhamdulillah,” katanya yang menaip menggunakan sebelah mata menerusi Instagram, sebentar tadi.

Isteri kepada pelakon, Aidil Aziz itu berkata, dia tidak pernah tertekan dengan situasi yang dialami serta tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

Sebaliknya, dia bersangka baik ia adalah ujian daripada Allah SWT yang mahu dirinya berehat seketika daripada bekerja.

“Benda nak jadi, apa kita boleh buat. Kita cuba sehabis baik, kita buat yang terbaik tetapi kemalangan tetap terjadi.

“Dalam hati ini, saya hanya fikirkan tanggungjawab yang masih tertangguh. Malah, pada hari kejadian saya hanya fikir ingin habiskan tugas tetapi Fieza, Along Kamaludin dan doktor tak izinkan. Dikala kesakitan baru kita sedar siapa yang betul-betul sayangkan kita,” katanya.

Dalam masa sama, Fasha memberitahu kepentingan mempunyai polisi takaful khususnya melibatkan golongan pelakon seperti dirinya.

“Lapan hari yang begitu panjang buat saya. Pertama kali ditahan di hospital kerana kecederaan dan pertama kali menggunakan polisi perubatan dan insurans peribadi yang saya carum sejak 2004.

“Saya tak pernah bermalam di hospital kecuali ketika bersalin, itupun hanya satu malam,” katanya.

Terdahulu, Fasha dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas mata dan kepalanya terhentak di bucu katil semasa menjalani penggambaran Anak Tuan bersama pelakon, Azhan Rani.

Akibat hentakan itu, tulang mata bahagian kiri dramatis itu patah dan bebola mata kirinya berdarah serta bengkak sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar di Johor Bahru.

Sumber: UTUSAN