SUNGAI PETANI: Seorang penunggang motosikal yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah maut dirempuh sebuah kereta di persimpangan empat Jalan Lencong Barat, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian pada pukul 6.49 pagi menyebabkan mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu pesara guru lelaki berusia 76 tahun dari arah Semeling menghala ke Sungai Layar.
“Sementara mangsa yang berasal dari Pendang pula sedang dalam perjalanan dari arah Laguna Merbok ke Sungai Layar menaiki motosikal jenis Honda EX5.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, mangsa dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah dan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum terlanggar mangsa di tengah laluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Zaidy, impak pelanggaran menyebabkan motosikal mangsa rosak di bahagian kanan dan hadapan manakala kereta dipandu pesara guru remuk di bahagian hadapan.
“Mangsa yang belum dikenal pasti pekerjaannya maut di lokasi kejadian manakala pesara guru itu tidak mengalami kecederaan.
“Mayat dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber: UTUSAN