Mayat bergelang putih terapung di sungai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Mayat lelaki memakai gelang putih ditemukan terapung di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Banggol Chempedak, di sini, 12 tengah hari, semalam.

Lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai masih dalam kuarantin Covid-19 dan ditemui pekerja sedang menjalankan kerja menyedut pasir di sungai berkenaan.

Menurut sumber, mayat yang dipercayai sudah meninggal dunia dua hari itu ditemukan tersangkut pada tali pelampung yang dipasang untuk kerja menyedut pasir di kawasan berkenaan.

Sumber berkata, ketika dalam perjalanan ke pelantar jentera penyedut pasir kira-kira 100 meter dari tebing pada 9 pagi tadi, dia ternampak satu objek terapung di permukaan air di kawasan berkenaan tetapi tidak menyangka ia adalah manusia.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke darat untuk makan tengah hari, pekerja terbabit teragak untuk melihat semula objek berkenaan yang tersangkut pada tali pelampung sebelum mendapati objek berkenaan adalah mayat lelaki.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan polis berhubung penemuan mayat berkenaan pada 2.37 petang.

Katanya, susulan itu, pihaknya mengerahkan enam anggota dari Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu ke lokasi kejadian.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mayat yang dijumpai terapung di sungai Terengganu berhampiran Kampung Banggol. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mayat yang dijumpai terapung di sungai Terengganu berhampiran Kampung Banggol. FOTO Ghazali Kori

“Mayat terbabit dipercayai dalam tempoh kuarantin Covid-19 berikutan memakai gelang putih. “Berikutan itu anggota terpaksa mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) ketika melakukan operasi membawa naik mayat berkenaan yang ditemui sejauh kira-kira 50 meter dari tebing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk urusan lanjut.

Sumber: My Metro