SHAH ALAM: Mayat dua beranak mangsa banjir ditemui di rumah teres setingkat di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata mangsa adalah seorang lelaki berusia 76 tahun dan anak perempuannya berusia 48 tahun yang ditemui jam 1.40 petang ini.
Dengan penemuan mayat dua beranak itu, angka kematian akibat banjir di Shah Alam meningkat kepada 14 orang sehingga jam 6 petang ini membabitkan lapan lelaki dan enam wanita.
“Polis mendapat makluman daripada keluarga terdekat yang tidak dapat menghubungi dua beranak itu sejak banjir melanda kawasan ini.
“Susulan itu, pasukan membuat pemeriksaan di rumah mangsa berdasarkan alamat yang diberikan dan menemui mayat dua beranak itu sekitar jam 1.40 tengah hari tadi di dalam rumah mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK1) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 , hari ini.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata sehingga kini tiada laporan diterima mengenai orang hilang susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.
Katanya, polis akan terus melaksanakan pemeriksaan dari kawasan ke kawasan berdasarkan maklumat dari orang awam termasuk jiran atau keluarga terdekat mangsa banjir.
Sementara itu, Baharudin memaklumkan bahawa sejumlah 4,276 mangsa banjir direkodkan di daerah ini dan 4,080 dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala selebihnya memilih lokasi sendiri seperti berpindah ke rumah saudara atau keluarga terdekat.
Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata pihaknya ada menerima 10 laporan mengenai jenayah pecah kedai di Taman Sri Muda.
“Antara yang dipecah masuk adalah kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran,” katanya.
Sumber: Berita Harian