KUANTAN : Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas 13 hari lepas di jambatan Sri Damai ditemui kira-kira tiga kilometer dari jambatan tersebut malam ini.
Ketua Zon 1 Pahang, PgKB II Mohd Shahrom Laji ketika ditemui berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.20 malam memaklumkan satu mayat dilihat terapung.
“Bomba ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota dan tiga pegawai dan kami dimaklumkan mayat telah hanyut sejauh 300 meter dan bomba menggunakan sebuah bot fiber untuk membuat pengesahan.
“Dan bila kita sampai di jambatan Taman Desa Bestari ini, kita dapati memang betul ada satu mayat yang hanya memakai seluar dan tidak berbaju yang tersangkut pada pokok dan disyaki adalah mangsa lemas yang berlaku pada 18 Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tambah beliau, pencarian yang memasuki hari ke-13 itu telah dibantu oleh 50 anggota pelbagai agensi iaitu bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang kampung serta dibantu oleh enam jentera termasuk lori.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi, 18 Disember lalu, mangsa Mohd Firdaus Supiardi, 26, dari Jaya Gading dipercayai telah dihanyutkan arus deras dan ada saksi yang melihat mangsa terjun dari jambatan terbabit dan dilihat cuba berenang ke tepi sungai namun gagal disebabkan arus deras.
Sumber: PAHANGMEDIA