![](https://www.manis.fm/wp-content/uploads/2025/02/Marang.jpg)
KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di sebuah ladang getah di Kampung Kubu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata mayat lelaki berusia 35 tahun itu ditemukan oleh penduduk tempatan pada 3.15 petang, dengan berbaju t-shirt berwarna hitam dan berseluar pendek berwarna coklat.
Beliau berkata lelaki itu dipercayai meninggal dunia kurang 24 jam sebelum mayatnya ditemukan.
“Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada mayat itu. Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dengan menelefon 09-6182222 atau hubungi balai polis berhampiran.
— BERNAMA