Mayat Lelaki Hilang Ditemui di Sungai Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Mayat lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang dekat Kampung Kiambang, Gangchong, Pekan sejak Rabu lalu ditemui pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat Mahadir Abd Hamid, 49, ditemui kira-kira jam 8 malam di kawasan Pulau Che Abas, Kampung Pulau Jawa di sini.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui kira-kira 23 kilometer dari lokasi dia disyaki terjatuh.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya jam 9.45 malam,” katanya.

Sebelum ini, mangsa yang dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke sungai berdasarkan penemuan selipar miliknya di atas tunggul di kawasan sungai itu kira-kira jam 6 petang hari berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pihak bomba selepas menerima panggilan bantuan jam 11.02 malam sebelum ditangguh dan disambung pada hari kedua sehingga mangsa ditemui pada operasi hari ketiga.

Khidmat dua anjing pengesan, Frenkie dan Pops dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba digunakan dalam operasi mengesan mangsa.

Operasi pencarian turut dibantu penyelam Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan. -Sinar Harian