Mayat nelayan tak berpakaian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Puteh: Mayat lelaki yang dipercayai nelayan warga asing ditemukan dengan kesan kecederaan fizikal dan melecur serta bogel, berdekatan jeti pendaratan ikan di Tok Bali, di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, susulan penemuan itu, pihak polis menerima panggilan yang memaklumkan kejadian pada 4 petang.

Katanya, mayat tanpa pakaian itu yang dianggarkan individu berusia 30-an ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas rumput.

“Siasatan awal, kita mengesyaki ada unsur jenayah berdasarkan kecederaan fizikal pada mangsa yang mengalami luka di bahagian atas kepala dan melecur di belakang badan serta punggung.

“Lelaki itu dipercayai warga asing memandangkan tiada dokumen pengenalan diri yang ditemui untuk mengenal pasti identiti. Mangsa juga mempunyai tatu di bahagian tangan sebelah kanan dan belakang badan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat terbabit ditemukan oleh pengawal jeti pendaratan ikan yang kemudiannya memaklumkan kepada majikan sebelum melaporkan kepada polis.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian termasuk pergaduhan diminta tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber: My Metro