Mayat Pelajar Uitm Dungun Ditemukan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Mayat mangsa lemas, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 19, ditemui pagi tadi dalam keadaan terdampar di Pantai Sungai Baging, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kali terakhir dia dilihat.

Mayat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu ditemui orang awam yang berjoging di pantai terbabit, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Saksi, Ahmad Saifuddin Ahmad Zainuddin, 58, berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan memakai singlet celoreng dan seluar pendek.

Difahamkan, mayat dihantar ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di sini untuk bedah siasat.

Semalam, media melaporkan seorang penuntut UiTM Dungun hilang, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di pantai berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Mangsa bersama 19 lagi rakan tiba di pantai itu kira-kira jam 9 pagi untuk beriadah sambil menghabiskan cuti hujung minggu.

Adam Ridhuan dari Seri Kembangan, Selangor, bersama rakannya dikatakan membuat permainan bulatan dalam air sebelum dipukul ombak besar dan hanyut dibawa arus deras.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.45 petang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Polis dari Balai Cherating ke lokasi kejadian untuk tindakan dan siasatan lanjut. Siasatan awal mendapati mangsa bersama 19 rakan datang ke pantai Cherating untuk berehat dan berkelah,” katanya.

Wan Mohd Zahari memaklumkan, rakan mangsa memberitahu, ketika membuat permainan bulatan di dalam air, ombak tinggi tiba–tiba menerjah menyebabkan kumpulan mereka berpecah dan mangsa ditarik arus deras ke tengah, tempat lebih dalam.

“Mereka masing-masing menyelamatkan diri, namun sempat melihat mangsa dalam keadaan panik sebelum hilang dari pandangan. Mereka kemudian meminta bantuan orang ramai dan menyusuri pantai untuk mengesan mangsa,” katanya.

Operasi mencari mangsa dilancarkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Sumber : BERITA HARIAN