Mayat Wanita Ditemui Dalam Kereta Hanyut Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MERSING: Mayat seorang wanita ditemui dalam kereta Perodua Myvi malam tadi selepas dipercayai hanyut dibawa arus deras di Jalan Nitar Utama di sini.

Pada kejadian kira-kira jam 6.49 pagi semalam, mangsa yang berusia 23 tahun itu, dipercayai dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang dan memandu di jalan raya yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus bersama-sama kereta yang dipandunya.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Mohd Rizal Buang, berkata mayat wanita itu ditemui dalam kereta berkenaan pada jam 10.19 malam.

Beliau berkata, kereta berwarna kelabu milik mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan peralatan “vehicle rockery system”, yang mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan berdepan kesukaran akibat pokok yang menghalang.

“Kita menemui mangsa selepas kereta berkenaan dibawa naik sebelum menyerahkannya kepada pihak polis pada jam 10.22 malam untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Terdahulu, kereta mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan terbalik pada jarak 15 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan penemuan mayat wanita itu, yang dipercayai pemandu Perodua Myvi yang dilaporkan hilang pagi semalam.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan berasingan, malam tadi.

Sumber: BERNAMA