MB Pahang Sumbang 3,500 Pelitup Muka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyumbangkan sebanyak 3,500 keping pelitup muka kepada petugas sekatan jalan raya di daerah Bentong.

Sumbangan tersebut disampaikan Pegawai Khas Menteri Besar (mewakili masyarakat Sikh), Datuk Jasvir Singh Ram Singh di dua sekatan jalan raya di Bentong iaitu sekatan jalan raya Benus dan sekatan jalan raya Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong.

Jasvir Singh berkata, sumbangan pelitup muka itu menunjukkan keprihatinan Menteri Besar yang sentiasa menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan.

Jasvir Singh (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada petugas di sekatan jalan raya Benus dan sekatan jalan raya Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu petugas barisan hadapan yang bertugas siang dan malam dan pastinya memerlukan banyak pelitup muka untuk digunakan setiap hari. Saya mewakili Menteri Besar akan terus memantau dan berusaha memenuhi keperluan petugas sekatan jalan raya dari masa ke masa,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sekatan jalan raya Benus dan sekatan jalan raya Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong Sabtu lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman. Sementara itu, Mohd Shahril mengakui, pihak petugas barisan hadapan di kedua-dua sekatan jalan raya berkenaan sangat memerlukan pelitup muka bagi kegunaan seharian.

“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan Menteri Besar terhadap petugas-petugas barisan hadapan, begitu juga terima kasih kepada Datuk Jasvir yang turun menyampaikan sumbangan hari ini.

“Sumbangan pelitup muka ini akan digunakan oleh petugas-petugas barisan hadapan di dua sekatan jalan raya yang dibuka di daerah ini,” kata beliau – Sinar Harian