MB Terengganu Dicabar Di DUN Ru Rendang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berdepan saingan satu lawan satu apabila ditentang calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Ia diumumkan Pegawai Pengurus DUN Ru Rendang, Lizan Che Mat kira-kira jam 10.12 pagi.

PH diwakili Suhaimi Sulaiman daripada AMANAH.

Suhaimi diiringi pencadang, Marina Endut dan penyokong, Mazlan Sulong manakala Ahmad Samsuri yang juga penyandang kerusi berkenaan diiringi pencadang , Wan Nelang Abd Rahman dan penyokong, Aziz Mohamed.

Suhaimi menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.05 pagi manakala Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menyerahkan borang berkenaan pada jam 9.20 pagi.

Terdahulu, Suhaimi tiba di Pejabat Daerah dan Tanah Marang di sini kira-kira jam 8.40 pagi bersama lebih 100 penyokong.

Ahmad Samsuri yang berbaju Melayu putih pula tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.15 pagi bersama lebih 2,000 penyokong.

Ahmad Samsuri yang bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon PKR, Sarawi Sulong (729 undi).

– BERITA HARIAN