PARIS – Kylian Mbappe berkata dia masih belum membuat keputusan mengenai masa depannnya di Paris Saint-Germain selepas meledak dua gol yang membantu kemenangan 5-1 pasukannya menentang Lorient di Ligue 1.
Bintang Perancis itu berada dalam prestasi sukar disekat sambil membantu dua gol buat Neymar dan satu buat Lionel Messi ketika trio berkenaan semuanya menjaringkan gol dalam perlawanan bersama PSG buat kali pertama.
Bagaimanapun sidang akhbar selepas perlawanan kembali berkisar kepada di mana Mbappe akan bermain musim depan dengan kontrak di PSG akan tamat pada Julai.
“Saya masih belum membuat pilihan. Saya belum mengambil keputusan, saya sedang memikirkannya, ada elemen baharu dan banyak faktor,” kata Mbappe kepada Prime Video.
“Saya tidak mahu tersalah,” katanya. “Saya tahu ia agak lewat untuk orang semua tahu, kita bercakap mengenainya setiap hari.
“Jika saya sudah membuat keputusan saya akan memberitahunya. Saya tidak perlu menjelaskan kepada sesiapa, ia pilihan peribadi.
“Jika saya membuat keputusan, saya akan mengumumkannya dan bersedia.”
Sumber: BERITA HARIAN