MBI siasat dakwaan jualan ais haram

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih menyiasat dakwaan kewujudan aktiviti pembekalan ais bagi kegunaan peniaga barangan basah secara haram selain mengguna pakai tenaga kerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Pasar Borong Ipoh, di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, siasatan tidak hanya dilakukan pihaknya, malah turut membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa yang lain biarpun beliau difahamkan pihaknya sudah mengeluarkan notis amaran berhubung perkara itu.

“Memang MBI ada terima aduan berkenaan aktiviti itu, bahkan ia masih dalam siasatan yang turut membabitkan kerjasama dengan beberapa agensi lain.

“Bagi mengambil tindakan, saya perlu tunggu laporan akhir siasatan terlebih dahulu. Saya takut untuk ‘jump to conclusions‘ (tergesa-gesa membuat kesimpulan),” katanya dalam sidang media sempena pelancaran e-dompet dengan usahasama Maybank Berhad di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Maybank Wilayah Perak, Datin Munirah Che Ros.

Rumaizi berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan berhubung aktiviti itu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi rakaman video di Facebook mendakwa kegiatan pembekalan ais oleh peniaga tidak berlesen sudah berlarutan sejak tujuh tahun lalu.

Selain tiada lesen serta permit, pembekal ais itu turut dikatakan menggunakan khidmat PATI sebagai penjual barangan itu.

Sumber: My Metro