KUANTAN : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam usaha menaiktaraf kubu-kubu kesan peninggalan tentera British yang terletak di Balok, Kuantan.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan peninggalan sejarah yang tidak ternilai tersebut terpelihara.
Menurut beliau, kubu tentera British itu dibina semasa Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1939 hingga 1945 sebagai perlindungan daripada serangan tentera Jepun ketika itu.
“Kerja menaiktaraf ini dilakukan sebagai usaha memulihara dan memelihara sumber sejarah yang tidak ternilai di negeri ini sebagai tatapan dan pengajaran kepada generasi muda pada masa kini dan akan datang.
“Kita berharap lokasi-lokasi bersejarah seumpama ini akan turut menjadi tumpuan bagi pelancong dan pengunjung ke daerah Kuantan kerana ianya bukan sekadar memperingati penderitaan rakyat ketika dijajah tetapi dapat meningkatkan semangat patriotik dan kesedaran dalam diri anak muda,” katanya.
Kerja-kerja menaiktaraf itu melibatkan kawasan di sepanjang pantai Beserah dan Balok di Kuantan di mana terletaknya kubu-kubu peninggalan tentera British.
Beliau turut berharap komitmen MBK dalam memperelok dan mengindahkan pelbagai nilai pelancongan di daerah Kuantan akan dapat melonjak sektor pelancongan sekali gus dapat mengembalikan kemeriahan sektor terbabit setelah ditutup hampir dua tahun akibat penularan pandemik COVID-19.
“Usaha MBK dalam menarik pelancong ke daerah Kuantan juga dapat menyokong sektor ekonomi peniaga tempatan khususnya yang berdaftar bersama MBK dan saya berharap semua peniaga dan pengusaha dapat merebut peluang ini untuk memulihkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA