MBK Sampaikan Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Di Kedah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang melalui Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi Misi Bantuan Banjir di Kedah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, bantuan ini akan diberikan melalui Kelab Anak Muda Bandaraya Kuantan.

“Kita terpanggil untuk menyalurkan bantuan ini bagi menunjukkan kesepakatan kepada masyarakat di Kedah yang menjadi mangsa banjir di mana kita tahu bencana ini melibatkan banyak pihak.

“Dan kita akan menyalurkan bantuan berupa pekakasan rumah seperti tilam dan barangan elektrik kepada mereka.

“Kita juga menyediakan bantuan dari segi bekalan makanan tetapi maklumat daripada sekretariat di sana memaklumkan bekalan ini dah banyak. Jadi sebab itu kita merasakan barangan yang kita bawa ini dapat menjadi salah satu yang diperlukan oleh masyarakat di sana,” katanya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin ketika Program Pelepasan Misi Bantuan Banjir Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Bersama Anak Muda Bandaraya Kuantan di bangunan MBK, Kuantan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pelepasan Misi Bantuan Banjir Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Bersama Anak Muda Bandaraya Kuantan di bangunan MBK di sini.

Beliau berkata, pihak MBK turut berterima kasih kepada Kerajaan Pahang diatas bantuan dan sokongan yang diberikan bagi menjalankan misi ini.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda yang telah menyalurkan sumbangan dan memberi semangat yang tinggi kepada anak muda ini.

“Kita daripada MBK juga mengharapkan dengan sumbangan yang sedikit ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir tersebut,” katanya.

Sementara itu, penyelaras misi ini, Encik Muhammad Asmawi Sulaiman berkata, pihaknya akan turut membantu membersihkan kawasan terlibat banjir selain menyampaikan bantuan barangan yang dibawa.

“Banjir di sana dah 100 peratus surut tetapi mereka kini dalam pasca banjir. Jadi di sini kita dengan kekuatan 25 orang, akan dibantu dengan kekuatan di sana dalam seramai 20 orang akan memberi bantuan dari segi membersihkan kawasan yang terjejas banjir juga, bukan sekadar pergi menghantar bantuan barangan sahaja.

“Kita juga telah mendapat kebenaran pihak berkuasa di sana untuk memasuki kawasan Taman Rekreasi Perigi yang mana sebelum ini ia tidak membenarkan mana-mana pihak untuk masuk.

“Setakat ini kita difahamkan Taman Rekreasi Perigi ini antara kawasan teruk terjejas banjir dan bagi tujuan ini, kita akan masuk bersama SWCORP daerah Kuala Muda,” katanya.

Beliau berkata sebanyak lapan buah kampung akan menerima bantuan barangan yang dibawa ini dengan anggaran penerima kira-kira 300 keluarga.

“Kita telah berhubung dengan PKOB dan Penghulu di sana bagi mengenalpasti barangan yang diperlukan supaya tiada pembaziran berlaku dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan yang telah diberi bantuan sahaja,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA