KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyediakan sebanyak 30 lokasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di daerah ini.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata jumlah berkenaan membabitkan 25 pasar Ramadan dan lima bazar Aidilfitri yang akan beroperasi sepanjang bulan puasa kali ini.
Beliau berkata, sebanyak 1,202 permit diluluskan kepada peniaga yang dengan aktiviti jualan juadah berbuka puasa dan kelengkapan menyambut Aidilfitri termasuk pakaian dan barangan lain.
Katanya, Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri dianjurkan oleh 21 individu atau penganjur yang berurusan dengan MBK sebelum ini dan permohonan mereka diluluskan.
“Selaku pihak berkuasa MBK bertanggungjawab memantau aktiviti serta perjalanan perniagaan di semua Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di daerah ini bagi memastikan peniaga mematuhi semua peraturan ditetapkan.”
“Penyerahan permit menganjurkan Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Lestari dan Pintar diadakan hari ini yang disempurnakan oleh Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin,” katanya, di sini semalam,” katanya.
Beliau berkata, MBK akan memastikan peniaga dan pengunjung Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain sentiasa menjaga kebersihan.
Norkamawati berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan turut sama akan memantau kebersihan selain kad kesihatan setiap peniaga, ini bagi menjamin makanan yang dijual sentiasa berada dalam keadaan baik.
Sumber: BERITA HARIAN