MCMC: Jangan terpedaya Sebaran Tegah Warga Emas Keluar Mengundi Pada PRN Johor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memberi peringatan kepada orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu yang meminta warga emas supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mengesan penularan mesej di media sosial yang meminta warga emas untuk tidak keluar mengundi pada PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 dalam kumpulan tersebut.

“Peringatan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan suasana panik dalam kalangan masyarakat yang boleh mencetuskan situasi yang tidak diingini,” kata suruhanjaya itu.

MCMC berkata orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini dan menentusahkan maklumat yang diterima daripada sumber rasmi terutamanya melalui Kementerian Kesihatan (KKM) atau melalui portal Sebenarnya.my.

“Tindakan tegas juga boleh diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang menyebarkan berita-berita tidak benar di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” kata MCMC.

Semalam, KKM menafikan telah mengeluarkan saranan hebahan kepada warga emas berumur lebih 60 tahun supaya tidak keluar mengundi pada PRN Johor akan datang, seperti ditularkan di media sosial baru-baru ini.

KKM memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan saranan itu dan berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu terbabit.

Sumber: BERNAMA