Pada tahun 2020, meskipun kereta terbang masih belum muncul, namun yang pastinya teknologi sudah mengetuk setiap pintu rumah. Kini, siapa yang tiada telefon pintar boleh dikatakan agak ketinggalan. Melanggan internet pula adalah kewajipan bahkan tanpanya dunia sukar bergerak kerana semua hanya di hujung jari. Liputan akses yang meluas telah menyerbu dari kota metropolitan sehingga ke ceruk kampung yang paling dalam.
Adanya telefon pintar boleh diertikan sebagai pisau. Jika pandai digunakan, telefon boleh memberi keuntungan dunia dan akhirat. Namun jika tersalah guna, jiwa dan nyawa juga boleh melayang. Antara sisi gelap penggunaan telefon pintar ialah akses kepada pornografi sangat dekat dan cepat. Ia berbeza dengan zaman dahulu di mana akses ini hanya terdapat di dalam majalah tertentu.
Tidak menghairankan bahawa Malaysia antara negara yang tertinggi kadar penggunaan internet di dunia, iaitu negara yang kesembilan paling aktif menggunakan media sosial dengan sejumlah 26.69 juta iaitu mewakili 83 peratus penduduk Malaysia. Kajian terbabit merupakan sebahagian daripada hasil Laporan Digital Januari 2020 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social.
Statistik yang ditunjukkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula menunjukkan tempoh penggunaan harian internet rakyat Malaysia adalah antara satu hingga empat jam (39.2 peratus), lima hingga lapan jam (23.9 peratus), sembilan hingga 12 jam (13.4 peratus). Dianggarkan sebanyak 8.1 peratus menggunakan internet melebihi 18 jam sehari.
Kajian Malaysians Against Pornografi (MAP) pada 2018 mendedahkan data amat mengejutkan apabila kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja. Sementara hampir 89 peratus daripada kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun menjadi mangsa antun dalam talian.
Apakah maksud pornografi? Pornografi boleh diertikan sebagai bahan bertulis atau visual yang merangsang keinginan seksual, dan bertujuan untuk memberahikan pemerhati atau pembaca. Ia juga dikenali sebagai “porn”, “smut” dan bahan-bahan lucah.
Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa’ al-Syafi telah menukilkan berkenaan kesan dan pengaruh maksiat. Antaranya ialah:
1. Terhalang dari mendapat ilmu
2. Terhalang dari rezeki yang murah
3. Merasa jauh dari rahmat Allah
4. Merasa terpinggir dari hubungan sesama manusia
5. Segala urusan menjadi sukar dan sulit
6. Hati menjadi gelap
7. Terhalang dari melakukan ketaatan
8. Boleh memendekkan umur seseorang
9. Mengheret kepada kemungkaran yang lain
10. Melemahkan ransangan ketaatan
Kesan Pornografi
Pornografi dalam agama Islam merupakan salah satu perbuatan yang dilarang kerana perbuatan ini tergolong dari salah satu perbuatan maksiat (zina mata).
Antara kesan menonton pornografi dari sudut fizikal ialah:
- Pornografi mampu membangkitkan nafsu kepada mereka yang menonton untuk melakukan hubungan bagi meniru aksi yang terdapat dalam video pornografi itu, menurut statistik kajian yang dijalankan di Malaysia mendapati seawal usia 13 hingga 18 tahun, remaja di Malaysia yang terlibat dengan ketagihan pornografi telah mendorong mereka berkelakuan tidak sopan atau melampaui batas-batas pergaulan sosial tanpa nikah seperti berpegangan tangan antara lelaki dengan perempuan bahkan lebih dari itu. Selain itu, hasil kajian yang dijalankan mendapati 22% pelajar yang melahirkan anak luar nikah mengaku tindakan mereka dipengaruhi oleh tontonan pornografi. Selain
- Dalam kajian yang dilakukan oleh Vaillancourt & Bergeron (2018), yang bertajuk Self‑ Perceived Problematic Pornography Use: Beyond Individual Differences and Religiosity dijalankan bagi melihat kesan pornografi keatas diri seseorang yang melakukannya. Hasil kajian ini menunjukkan pornografi mampu menyebabkan ketagihan yang melampau keatas diri seseorang sehingga memberi kesan terhadap aspek kesihatan seperti menyebabkan kurangnya kawalan diri, kemandulan, hilang rasa hormat, seks berbahaya (kekerasan) dan pelbagai lagi.
- Jika seorang penonton pornografi lebih ekstrem tanpa kawalan, mereka berpotensi melakukan jenayah rogol, sumbang mahram, menjadi pedophilia.
Kesan Menonton Pornografi dari Sudut Mental:
- Menurut Reisman (2008), pornografi boleh memberi kesan buruk terhadap otak remaja yang menyebabkan mereka mudah mempercayai gambaran palsu (kenikmatan melakukan seks) berbanding realiti kehidupan yang sebenar.
- Selain itu, pornografi juga mampu menyebabkan gangguan terhadap emosi remaja seperti hilangnya rasa malu, merendah diri dan hilang pertimbangan (Norman & Nooraini, 2019).
- Berdasarkan kajian yang telah dijalankan mendapati kebanyakan remaja yang mengalami ketagihan pornografi mempunyai ciri-ciri yang hampir sama iaitu suka bersendirian. Ketika bersendirian pornografi akan menyebabkan seseorang individu tersebut berkhayal bentuk tubuh atau sedang berhubungan. Impaknya terhadap kesihatan mental individu tersebut ialah akan hilamgnya rasa hormat tehadap kesucian maruah seorang wanita.
Pencegahan Pornografi Mengikut Psikospiritual Islam
Psikospiritual Islam adalah gabungan dari perkataan psikologi dan spiritual yang bermaksud pemikiran atau kajian tentang proses mental dan pemikiran yang bersifat rohaniah dari perspektif agama Islam.
- Mengisi masa dengan memahami Ilmu Agama
Antara langkah mengawal diri daripada terjebak membuka laman web yang tidak sepatutnya ialah menyibukkan diri dengan mencari ilmu pengetahuan terutama mengenai agama terutama ilmu tauhid, Syariah dan tasawwuf. Setelah itu, berazam untuk beramal denga apa yang dipelajari.
Firman Allah S.W.T:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan (30).
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka
- Melatih khusyuk dalam ibadah
Khusyuk dalam solat adalah menyelami dan mendalami sehingga mampu menemukan sifat-sifat Ilahiyah Allah. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Mu’minun:
﴿قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ ﴾
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.
Al-mu’minun (23:1-2)
Dengan solat yang khusyuk, Muslim akan merasakan ketenangan jiwa yang luar biasa. Ketenangan itu dengan izin Allah dapat menggantikan ketenangan yang dicari sebelum ini melalui maksiat. Muslim yang menjaga ibadahnya juga akan rasa bersemangat akan hidupnya tidak seperti ketika bermaksiat di mana hati rasa gelisah dan tidak tenteram.
- Berpuasa
Berpuasa adalah proses menahan makan dan minum dari terbit fajar sehingga terbenam matahari berserta niat. Ketika berpuasa setiap umat Islam bukan sahaja perlu menahan diri dari makan dan minum namun turut perlu menahan diri dari melakukan hubungan seks. Selain itu, Umat Islam juga perlu menahan diri dari menyebut perkataan yang sia-sia. Proses berpuasa ini melatih umat Islam berdisiplin, semakin sihat dan bersifat sabar menghadapi dugaan. Dalam konteks melawan pornografi, puasa membantu mencegah syahwat dari berkeinginan yang bukan-bukan.
- Bertaubat
Taubat adalah satu tindakan di mana kita menginsafi akan dosa maksiat yang telah dilakukan dan berazam tidak ingin melakukannya lagi. Langkah bertaubat yang perlu dilakukan ini ialah memisahkan diri (uzlah) dengan kejahatan. Cara untuk memperkukuh taubat adalah dengan merasakah ketakutan terhadap azab dan harapan terhadap rahmat Allah.
Misalnya : Individu yang menonton perlu menjauhi rakan-rakan yang menghasut untuk menonton pornografi serta menghindari sementara media sosial yang mungkin berpotensi keluarnya iklan-iklan lucah yang mampu menggugat keteguhan diri. Setelah itu, tekadkan diri (iradah) untuk tidak membuka laman-laman web ini. Langkah ketiga ialah istiqamah untuk tidak mengulanginya lagi.
Menurut al Kharraz, tidak akan sempurna atau rosak amalan tanpa ikhlasm sabar dan benar. Setiap tindakan dalam membentengi diri dari gejala pornografi perlu diterapkan sifat ini.
Kesimpulannya, pornografi maksiat alaf baru sangat mudah diakses menerusi teknologi dan kemudahan hari ini. Kecanggihan medium ini sebnarnya boleh digunakan kea rah yang lebih baik jika berkehendak. Tekadkan diri dan bentengi diri dengan iman dan taqwa agar terhindar dan terselamagt dari gejala pornografi ini.
Rujukan :
- Amirul Ashraaf Norman & Nooraini Othman, (2020), Jurnal Ketagihan Pornografi Dalam Kalangan Remaja: Faktor Dan Implikasi Terhadap Sahsiah Diri Remaja.
- Nor Azah Abdul Aziz & Che Zarrina Saari (2011)Jurnal Menangani Permasalahan Laman Web Pornografi : Antara Perisian Penapis, Penguatkuasaan Undang-undang dan Amalan Spiritual