Al-Quran adalah kalam mulia yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan wahyu. Kandungannya dipenuhi dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan. Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain.
Firman Allah Taala dalam surah Az-Zumar ayat 23 :
ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحۡسَنَ ٱلۡحَدِيثِ كِتَٰبا مُّتَشَٰبِها مَّثَانِيَ تَقۡشَعِرُّ مِنۡهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّهُمۡ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمۡ وَقُلُوبُهُمۡ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَهۡدِي بِهِۦ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنۡ هَادٍ
Maksudnya : Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. (39:23)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya bertajuk Kaifa Nata’amal Ma’a al-Quran al-Azim? menyebut tujuh keistimewaan al-Quran iaitu:
- Al-Quran adalah kitab Ilahi
- Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara)
- Al-Quran adalah kitab mukjizat
- Al-Quran adalah penerangan dan kemudahan
- Al-Quran adalah kitab agama keseluruhannya
- Al-Quran adalah kitab zaman keseluruhannya
- Al-Quran adalah kitab insaniah keseluruhannya
Menurut Dr. Fadhlan Abbas pula, Al-Quran begitu istimewa kerana;
Pertama, ia merupakan petunjuk yang sempurna. Kesempurnaan ini bermaksud ia tidak meninggalkan walau satu aspek pun daripada segala aspek keperluan manusia serta pensyariatan hukum-hakam dan undang-undang yang mengangkat martabat manusia melainkan semuanya dijelaskan sebaik-baiknya oleh al-Qur’ān.
Kedua, petunjuk al-Qur’ān ini juga merupakan petunjuk yang umum dan menyeluruh, iaitu dalam erti kata, penurunan risalahnya tidak terhad untuk zaman dan tempat tertentu sahaja, bahkan ia adalah untuk seluruh makhluk walau berbeza zaman dan tempat mereka. Tujuannya adalah untuk mendidik seluruh manusia.
Betapa luasnya cakupan Alquran sehingga ia meliputi pelbagai tema dari aspek kehidupan yang penting. Tema ini disebutkan di dalam jilid keempat daripada kitab Aḥkām al-Qur’ān karangan Ibn al-‘Arabī raḥimahullāh.
Antaranya ialah : Ijārah (upah sewa), ijtihad, irth (pewarisan harta), isti’dhān (meminta izin), asrā (tawanan perang), īlā’, iman, bay‘ (jual beli), bai‘ah, tijārah (perdagangan), taḥiyyah (ucapan), jār (jiran), jizyah, jihad, haji, hasad, haram, ḥaḍānah (penjagaan anak), ḥukm (pemerintahan), khilāfah, wilāyah, ḥaml (kehamilan), haid, khamr, diyat, dhakāh (sembelihan), raḍā‘ (penyusuan), dayn (hutang), riba, riqq (perhambaan), raḥn (gadaian), zakat, zina, sariqah (kecurian), syair, shahādah (penyaksian), iqrar (pengakuan), shahīd (saksi), sedekah, ṣayd (buruan), solat, masjid, ṣulḥ (pendamaian), ṣiyām (puasa), ḍamān (jaminan), talak, ṭahārah (bersuci), ẓann (sangkaan), ẓihār, iktikaf, ‘iddah, fiṣāl (berhenti menyusu), ilmu, ‘ahd (perjanjian), akad, ‘ain, ghanīmah (rampasan perang), qur‘ah (undian), qiṣāṣ, qaḍā’ (kehakiman), qat‘ al-sabīl (rompakan jalanan), kidhb (dusta), kafālah (tanggungan), kanz almāl (sorok harta), liwat, mā ḥarrama Allāh (perkara yang diharamkan oleh Allāh), murāhanah (saling bergadai), mushāwarah, kurh (tidak suka), mahar, nikah, nazar, nasab, nasī’ (penangguhan), nafkah, hibah, wasiat, wudu’, wakaf, wakālah (perwakilan), yatim, yamīn (sumpah), pelbagai hukum-hakam yang lain, adat jahiliah, al-naẓr ilā mā lā yaḥillu shar‘an (melihat kepada perkara yang tidak dihalalkan oleh syarak), hijrah.
Kesimpulannya, Al-Quran adalah sesuatu yang istimewa yang dihadiahkan kepada Umat Nabi Muhammad SAW. Bagi mengekalkan Al-Quran dalam kehidupan, kita perlulah sentiasa membaca, menghafal serta cuba memahami isi kandungannya agar keindahannya sentiasa melekat pada jiwa. Interaksi dengan Al-Quran akan menguatkan lagi hubungan kita dengan tuhan kerana melaluinya kita mendapat petunjuk di dalam kehidupan. Sesungguhnya Al-Qur’ān adalah suatu yang hidup, ia akan hadir bergantung pada kadar kesungguhan yang kita hadirkan.
Rujukan :
- Bayan Linnas Siri Ke-139 : Al-Quran : Kalamullah Yang Mukjizat
- Irsyad Al-Fatwa Ke-68: Keistimewaan Al-Quran
- Tanggungjawab terhadap Al-Qura, Dr. fadhl Hassan ‘Abas (Diterjemahkan oleh Syah Nazrin)