Masak dan makan di rumah adalah lebih baik. Selain dapat menjaga diri dan keluarga, terdapat banyak faedah jika melakukan aktiviti itu di rumah. Anda boleh menyerikan suasana di dalam rumah dengan menjadikannya seperti makan di restoran.
Sekiranya rumah anda memiliki ruang yang cukup untuk satu keluarga di meja makan, hias meja tersebut supaya kelihatan lebih menarik dan tenang. Anda boleh meletakkan pokok hiasan bersaiz kecil, tisu ataupun lilin.
Di samping itu, anda boleh memilih ruang mengikut keselesaan seperti makan di lantai bersama-sama ataupun di halaman rumah. Hanya menggunakan tikar atau karpet, anda sebenarnya telah mewujudkan tempat makan yang baharu.
Manfaat Memasak Untuk Keluarga
Soal memasak, anda perlu mencari masa untuk memasak walaupun mempunyai jadual harian yang padat. Walau sesiapapun anda di dalam ahli keluarga; ayah, ibu, kakak, abang ataupun adik, ambil peluang yang ada dengan memasak untuk keluarga. Masaklah menu yang mudah ataupun makanan kegemaran keluarga anda.
Jadikanlah aktiviti Nabi SAW ini sebagai aktiviti anda dalam kehidupan jua. Sebuah hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Aisyah R.A iaitu isteri kepada Nabi SAW pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Al-Aswad bin Yazid. Lelaki itu bertanya tentang aktiviti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa di dalam rumah.
Lalu Aisyah berkata: “Rasulullah SAW sering membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah dan apabila masuknya waktu solat, Baginda keluar untuk mendirikan solat.”
Seperti yang telah disebutkan Aisyah R.A, Rasulullah SAW turut membantu dalam menguruskan perihal rumah tangga. Ini termasuklah memasak di dapur untuk keluarga. Oleh yang demikian, kita mestilah menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam kehidupan. Setiap perbuatan yang Baginda lakukan sememangnya banyak memberikan manfaat.
Ikatan Kekeluargaan Semakin Kukuh
Sebagai contoh, ikatan antara keluarga semakin kukuh seandainya masak bersama-sama keluarga. Memasak juga adalah waktu yang boleh membentuk kebahagiaan dan keharmonian. Anda boleh meluangkan masa bersama-sama untuk memasak semasa siang, tengah hari, petang ataupun malam mengikut kesenangan.
Hubungan erat itu dapat dibina melalui penggalakan aktiviti di dapur bersama-sama. Demi mewujudkan suasana meriah di dapur, bahagikan tugas kepada ahli keluarga. Contohnya, ada yang melakukan tugas memotong bahan, menyusun pinggan, tukang masak dan sebagainya.
Tambah pula, niat memasak untuk keluarga akan melahirkan rasa cinta. Apabila memasak dengan kasih sayang dan ikhlas, air tangan anda pastinya menjadi lazat. Momen serta rasa masakan bakal diingati oleh keluarga. Keadaan itu akan menjadi kenangan yang abadi dalam memori ahli keluarga anda.
Kebersihan Lebih Terjamin
Masakan juga boleh disediakan dengan mengikut cita rasa dan mengawal bahan-bahan di dalamnya. Hal ini dapat membantu anda dan keluarga untuk makan makanan yang sihat serta bersih. Makanan yang disediakan di rumah lebih terjamin kebersihannya. Anda dapat melihat sendiri peralatan dan barangan makanan yang digunakan.
Secara tidak langsung, anda telah menggalakan pemakanan yang sihat dan seimbang. Kalau makanan di luar, kandungannya mungkin lebih tinggi perasa dan lemak. Contohnya, gula dan garam. Anda tidak tahu berapa banyak yang telah diletakkan ke dalam masakan.
Jadi, adalah lebih baik untuk masak dan lihat sendiri. Maka, anda dapat menjaga pengambilan makanan ahli keluarga anda yang mempunyai penyakit. Hal ini kerana, tidak semua orang boleh makan makanan sesuka hati. Ada yang memiliki penyakit resdung, kencing manis, alahan terhadap sesetengah bahan dan sebagainya.
Masak Sendiri Lebih Jimat
Bukan itu sahaja, memasak sendiri lebih menjimatkan berbanding makan di luar. Anda dapat menjimatkan kos dan juga masa. Jika memilih untuk makan di restoran, mungkin anda perlu melalui jalan yang sesak, lampu isyarat, beratur sebelum memasuki restoran dan kemudiannya menunggu makanan.
Makanan yang merupakan perkara asas dalam kehidupan turut menjadi salah satu asbab kepada kebaikan. Contohnya, anda mengambil peluang untuk menyediakan makanan buat keluarga. Jika diizinkan Allah SWT, semestinya anda meraih pahala kerana memenuhi keperluan manusia. Dengan makanan yang anda masak, ahli keluarga dapat melaksanakan ibadah dan aktiviti-aktiviti harian dengan sempurna.
Sebenarnya, masakan salah seorang daripada ahli keluarga bakal mencetuskan kerinduan dan membentuk identiti. Namun yang biasa didengari adalah masakan ibu paling sedap di dunia dan lebih enak daripada masakan orang lain.
Meskipun begitu, tentu ada masakan daripada ayah, abang ataupun kakak yang anda gemari dan mengidam. Salah satu daripada masakan mereka pasti sentiasa menjadi pilihan. Jadi, teruskanlah memasak untuk keluarga tersayang selama mempunyai kesempatan bersama dengan mereka. Masakan anda mungkin akan menjadi sejarah teragung dalam keluarga.
Harga permata sangat mahal tetapi apa-apa yang dilakukan untuk keluarga lebih bernilai. Keluarga merupakan hadiah daripada Allah SWT di dunia. Oleh itu, bahagiakanlah keluarga terlebih dahulu sebelum membahagiakan orang lain. Walaupun hanya dengan masakan mi segera buat seisi keluarga, anda telah mencatatkan ribuan kebaikan.
Sumber: TZKRH.COM