Membantu Tanpa Tunding Jari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tanah air kita yang tercinta iaitu Malaysia sememangnya bertuah dan penuh rahmat Allah kerana masih lagi dihindari daripada ditimpa musibah berskala mega, tidak sebagaimana nasib yang dialami oleh negara-negara yang lain.

Negara kita masih tidak terlepas dari kejadian yang kurang menyelesakan akibat diancam musibah fenomena alam seperti banjir dan tanah runtuh. Bagi mereka yang tinggal di kawasan negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Kejadian banjir sama ada skala besar mahupun kecil sudah lumrah pada setiap kali musim tengkujuh. Mungkin ada yang semenjak dari lahir lagi sudah mengenali apa itu banjir dan sedikit sebanyak merasai betapa perit menghadapi musibah alam tersebut.

Bagi mereka yang sebelum ini mungkin tidak pernah ditimpa fenomena alam itu pasti menempuh suasana yang bukan sedikit rasa bimbang dan takut berhadapan dengan situasi yang mencemaskan itu.

Beberapa negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan turut terkena musibah yang tidak dijangka lebih awal. Masing-masing kebingungan dengan terpaan musibah itu sehingga ke hari ini.

Suasana banjir itu telah banyak mengorbankan jiwa. Kerosakan harta benda, usah dikira kerana musibah yang dianggap paling dahsyat itu telah menenggelamkan banyak kawasan yang selama ini dianggap ‘tembok kebal’ daripada asakan air banjir.

Namun, kali ini segalanya berakhir dengan asakan deruan air banjir yang mencemaskan. Kuasa Allah segalanya boleh terjadi.

Dalam kepayahan menangani permasalahan banjir itu, semangat untuk tidak sekadar melihat dari jauh sahaja akan nasib yang tertimpa kepada mangsa-mangsa banjir itu diserlah dengan menzahirkan pelbagai bentuk pertolongan yang terdaya.

Rata-rata masyarakat Malaysia benar-benar menghayati maksud peribahasa bak ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa juga’.

Demikian semangat untuk saling membantu muncul pada diri setiap insan warga tanah air kita. Yang termampu dengan tenaga, maka mereka ‘turun ke gelanggang’ meredah air banjir bagi membantu mereka yang terperangkap.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian, mereka menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit sebagai sumbangan ikhlas tanda simpati terhadap mereka yang menjadi mangsa bencana tersebut.

Paling tidakpun pastinya ramai yang menadah tangan berdoa agar semua mangsa dilindungi Allah daripada kesusahan yang berterusan dan segala sesuatu yang tidak diingini dijauhi-Nya.

Inilah semangat jitu yang menyatu-padukan masyarakat tanah air kita dalam memperkasakan jati diri sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang mahu menjadi manusia paling bermanfaat kepada manusia lain.

Tidakkah Rasulullah SAW sudahpun memberitahu bahawa hamba Allah yang terbaik itu ialah mereka yang paling banyak memberikan kebaikan kepada orang lain?

Ini dapat diteliti menerusi satu sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan At-Tabrani yang direkodkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.”

Berdasarkan apa yang telah dan sedang dilakukan oleh rakyat Malaysia waktu ini dalam membantu meringankan beban kesusahan mangsa banjir itu merupakan satu petanda telah nyata ‘terzahirnya budaya umat Nabi SAW’.

Nabi SAW begitu menginginkan dan mengimpikan umatnya tampil selaku umat terbaik bukan sekadar terbaik buat diri sendiri, tetapi dalam masa yang sama menjadi terbaik dalam melakukan amar makruf.

Inilah kekuatan dalaman yang sejajar dengan intipati Nabi SAW yang mahu umatnya menjulang tinggi segala usaha berkerjasama dan kerja sama-sama dalam menggalas sunah membantu insan lain.

Sesungguhnya, budaya hidup sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang antara lain menghidupkan hati dan jiwa ingin membantu sesama manusia seharusnya terus kekal bersebati dalam diri.

Kebersamaan dan sikap keprihatinan tinggi yang ditunjukkan itu tidak lain adalah satu sikap yang terpuji yang pastinya bakal dilimpahi rahmat ilahi bagi mereka yang bergigih usaha melakukannya.

Dalam keasyikkan julangan semangat berpadu kudrat membantu mangsa, kedengaran juga suara-suara yang kurang menyenangkan yang sekaligus memadamkan niat suci dan langkah murni itu.

Mengapa perlu kita mengintai ‘siapa yang tidak datang membantu sama?’

Mengapa perlu kita menuding jari kepada mana-mana pihak dengan lemparan aneka tuduhan sehingga menimbulkan satu ketegangan pula.

Dalam keadaan kita sedang membuat kebajikan, usahlah pula kita menyaluti hati dengan sifat iri hati dan buruk peribadi.

Dalam keadaan hati kita sedang bersemangat untuk membantu yang sememangnya itu satu usaha diredai ilahi, usahlah pula dalam masa yang hati dan minda diselimuti rasa diri lebih baik daripada orang lain.

Ini kerana, ‘musuh yang paling sukar untuk dilihat iaitu riak’ akan melibatkan dirinya untuk menjebak seseorang itu ke kancah dimurkai Allah.

Ingatlah akan pesanan seorang ulama’ iaitu Yahya bin Muaz yang katanya:

“Jadikanlah habuan seorang Mukmin daripada dirimu itu tiga bahagian:

Jika kamu tidak memberi manfaat kepada orang lain, jangan pula kamu memberi mudarat kepadanya. Jika kamu tidak mampu menggembirakannya, usahlah pula kamu menggundahkannya. Jika kamu tidak memujinya, janganlah pula kamu mencelanya”.

Sudah timbul seakan-akan suasana murni sesama anggota masyarakat yang saling membantu itu, dikeruhkan pula dengan suasana berburuk sangka dan menabur tuduhan yang pasti situasi sebegini bukanlah budaya umat Nabi SAW yang diingini oleh baginda.

Budaya hidup untuk berlumba melakukan kebaikan itu adalah amalan budaya umat Nabi SAW, tetapi berlumba-lumba menabur kata keji, berburuk sangka, adalah sesuatu yang menyalahi hasrat Nabi SAW dalam membina sebuah masyarakat yang terjulang akal budi yang berpekerti luhur.

Biarlah perbuatan yang menjadi ‘jurucakap peribadi’ hal ini kerana seandainya langkah baik, namun ia tetap terencat redai-Nya, apabila hati dan rasa masih bersalut sifat mazmumah yang keji.

Sumber : Harian Metro