Memperdalamkan Cinta Terhadap Junjungan Nabi Muhammad Saw

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sumber : Google Image

Tidak lama lagi pada 29 Oktober 2020 bertepatan dengan Tarikh 12 Rabiulawal 1442 H kita akan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad ﷺ . Justeru pada bulan yang istimewa ini ayuh kita mempersiapkan diri mengenal kekasih kita junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Di Malaysia khususnya, persoalan mengenai sambutan Maulidul rasul sering ditimbulkan.

Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW, menurut pandangan sebahagian ulamak seperti Imam al-Suyuti beliau menyatakan bahawa amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya, kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. 

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”. (Riwayat Muslim)

Salah satu tanda seseorang itu menyayangi Rasulullah SAW adalah dirinya merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW, serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Imam al-Suyuti meriwayatkan daripada Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib al-Syafii. Imam al-Syafii berkata: Perkara-perkara baharu yang diadakan terbahagi kepada dua bentuk :

  1. Perkara yang diadakan menyalahi al-Quran, al-Sunnah, pandangan ulamak salaf dan ijmak, maka ia adalah bid’ah (perkara baharu) yang sesat
  2. Jika perkara yang diadakan itu ada kebaikan yang tidak bertentangan dengan mana-mana daripada al-Quran, al-Sunnah, pandangan Ulamak Salaf Dan Ijmak, maka ia adalah bid’ah (perkara baharu) yang tidak tercela.

Oleh itu, berdasarkan pandangan ini sambutan Maulidur Rasul tidak termasuk di dalam perkara bid’ah (perkara baharu) yang menyesatkan. Selagimana ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Justeru pada bulan yang mulia ini, marilah kita melakukan amalan ini bagi menunjukkan kecintaan kita kepada junjungan mulia nabi Muhammad SAW. Sememangnya amalan ini tetap perlu diteruskan meskipun setelah melepasi Tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Antara amalan tersebut ialah :

1. Memperbanyakkan selawat

Firman Allah S.W.T :

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا  ٥٦

Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab : 56)

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (Riwayat Muslim)

Kata Abū Muḥammad al-Marjānī, “Selawatmu kepada baginda itu – pada hakikatnya – kerana manfaatnya itu kembali kepada dirimu sendiri, dikau sebenarnya mendoakan kebaikan buat dirimu sendiri.”

Ibn al-‘Arabī berkata, “Faedah selawat kepada baginda itu, kembali kepada orang yang berselawat kepada baginda. Kerana ia menjadi dalil kepada akidah yang benar, niat yang ikhlas, menzahirkan kecintaan (kepada baginda), sentiasa dalam ketaatan (dengan berselawat), dan menzahirkan penghormatan kepada perantara yang mulia (yakni baginda, yang menjadi wasīṭah antara kita dengan Allāh sewaktu hidup baginda).”

Apabila kita berselewat kita sebenarnya bukan sahaja berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, bahkan kita sebenarnya sedang berselawat kepada diri sendiri. Dalam masa yang sama juga kita sebenarnya turut menyucikan hati, menzahirkan kesyukuran dan kecintaan kita terhadap Allah dan Rasulullah SAW.

2. Memperbanyakkan pembacaan bagi memperdalamkan kecintaan terhadap junjungan Nabi SAW

Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun. Alhamdulillah terdapat banyak kitab yang kita dapat manfaat untuk mengenali dan ma’ rifah Rasulullah SAW. Antaranya

  • Kitab  AI- Rahiq al-Makhtum  oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
  • Kitab Sirah Nabawiyyah oleh lbn Hisham
  • Kitab AI-SyamaiI al-Muhammadiyyah oleh lmam al-Tirmizİ

Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Begitu juga memahami fiqhnya seperti

  • Kitab  Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-GhazaIi
  • Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti
  • Kitab AI-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ’Ibar oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’ie
  • Kitab AI-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawi oleh Syeikh Dr. Munir al-Ghadban dan lain-lain

Kitab Ar-Rahiq Al,Makhtum yang telah diterjemahkan

3. Memperbanyakkan amalan sunnah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW

Walaupun telah lama berlalu zaman baginda Rasulullah SAW tetapi kita masih tetap beruntung kerana beriman kepadanya. Justeru, buktikan kecintaan kepada Baginda dengan mengamalkan sunah yang ditinggalkan. Amalan sunnah seperti bersiwak, menjaga kebersihan, besedekah, memakai serban, memulakan sesuatu dengan tangkan kanan, melazimi doa, memberi makan anak yatim perlu diperbanyakkan bagi mencontohi amalan mulia nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW bersabda: “Beruntunglah sesiapa yang pernah melihat wajah Baginda dan kemudian beriman dengannya. Lalu Baginda mengulangi ucapannya sebanyak tiga kali bahawa beruntunglah orang yang tidak pernah melihat wajahnya, tetapi tetap beriman kepada Baginda.”

Rujukan :

  1. http://www.islam.gov.my/e-hadith/1237-keutamaan-mengamalkan-sunnah-nabi-saw-dalam-kehidupan
  2. https://www.mais.gov.my/maulidur-rasul/
  3. Maqasid Selawat, Al-Ḥāfiẓ Shamsuddīn Muḥammad Bin ‘Abd Al-Raḥman Al-Sakhāwī.
  4. Bayan Linnas, Maulid Ar rasul : Mesej Kesatuan Ummah