Guru atau pendidik merupakan seorang yang penting dalam mendidik seorang insan. Kita pasti terasa terhutang budi atas sumbangan jasa bakti seseorang guru. Seorang guru pasti mempunyai cara tersendiri ketika mengajar mengajar anak-anak muridnya.
Berikut merupakan perkongsian mengenai perkara yang perlu ada pada seorang pendidik kepada anak-anak muridnya.
Pertama, seorang guru perlu pegang prinsip semasa mengajar berdasarkan kepada Rasulullah SAW sabdakan: “Sesungguhnya Allah tidak mengutuskanku untuk memberi kesukaran dan mencari kesilapan orang lain. Sebaliknya, Allah mengutuskanku sebagai guru yang memberi kemudahan.” (Hadis sahih diriwayatkan Imam Muslim)
Seorang guru perlu sentiasa meringankan kesukaran pelajar semasa mengikuti sesi pembelajaran atau pembengkelan. Seorang guru perlu mengingatkan diri sendiri dengan sabda Rasulullah SAW agar guru tersebut tidak hanyut dalam mengejar silibus sehingga pelajar sukar memahami pembelajarannya.
Kedua, seorang pendidik perlu meneladani sikap Nabi SAW semasa menyampaikan sesuatu ajaran. Baginda Rasulullah juga bercakap dengan suara yang jelas. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi yang mengatakan bahawa Aisyah ada memberitahu bahawa:
“Tidaklah Baginda bercakap tergopoh-gapah. Tergopoh-gapahnya percakapan kamu (kerana ini akan mewariskan kesamaran kepada pendengar dan sukar untuk memahami dan mengingatinya). Baginda bercakap secara jelas dan orang yang duduk bersama Baginda boleh menghafalnya.”
Kenyataan daripada Aisyah itu harus dijadikan suntikan ilmu pengajaran kepada semua pendidik agar melakukan gaya yang sama sebagaimana dilakukan oleh Nabi dahulu dengan harapan semua pelajar dapat memahami pengajaran yang diajar.
Ketiga ialah menyampaikan isi pembelajaran dalam suasana ceria, sentiasa berwajah tenang dengan senyuman dan lemah lembut. Terdapat juga gaya Rasulullah yang dilaporkan oleh Al-Hasan bin Ali.
Dalam laporan itu, Hasan ada bertanyakan kepada ayahandanya, Ali bin Abi Talib mengenai kehidupan Nabi SAW (ketika bersama para sahabat yang duduk dalam majlis Baginda).
Lalu ayahandanya memberitahu: “Adalah Baginda sentiasa tersenyum, budi pekertinya lemah-lembut, tidak kasar percakapannya dan tidak kasar tindakan dan perbuatannya, tidak pernah menghampakan permintaan dan harapan orang yang mengharapkan kepada Baginda.
Sesungguhnya Baginda menghindarkan dirinya daripada tiga perkara: iaitu bertelingkah, membanyakkan (kata-kata atau harta) dan perkara yang tidak ada kena mengena dengan Baginda.”
Laporan oleh Hasan bin Ali memberikan satu tinggalan teori pembelajaran dan pengajaran yang berkesan untuk diamalkan oleh para pendidik.
Oleh itu, para pendidik perlu menteladani gaya dan sikap Baginda SAW semasa baginda membimbing sahabatnya dahulu kerana di dalamnya tersingkap pelbagai teori dan amali pembelajaran dan pengajaran yang sangat ‘mujarab’ untuk memperkasakan kualiti ‘output’ pendidikan.
Benar sekali bahawa Baginda Rasulullah SAW adalah ‘The Great Educator’.
Sumber: HARIAN METRO