Rukuk dan iktidal merupakan rukun fi’li (iaitu rukun dalam bentuk perbuatan) dalam sembahyang sebagaimana yang disebutkan dalam hadis daripada Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Jika engkau mendirikan sembahyang, maka bertakbirlah kemudian bacalah Al-Quran yang mudah bagimu (surah Al-Fatihah). Kemudian, rukuklah sehingga rukuk dengan tomakninah dan bangkitlah sehingga berdiri dengan iktidal. Seterusnya, sujudlah sehingga sujud dengan tomakninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan tomakninah dan lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyang kamu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 856)
Di samping itu, rukuk merupakan rukun fi’li yang panjang, manakala iktidal adalah rukun fi’li yang pendek. Jika keduanya ditinggalkan, maka solatnya boleh menjadi tidak sah.
Iktidal adalah keadaan di mana kita kembali kepada keadaan sebelum rukuk, iaitu berdiri dengan betul. Jika solat itu dilakukan dalam keadaan duduk, maka dia perlu kembali kepada keadaan asal duduknya.
Berkenaan dengan bacaan iktidal pula ia berbeza dengan bacaan sebelum pergerakan di dalam solat yang lain dengan tidak bertakbir, sebaliknya membaca Sami’allahu Liman Hamidah yang bermaksud Allah Maha Mendengar pujian orang yang memujinya.
Mengapa ia tidak dibacakan dengan takbir sama seperti bacaan untuk pergerakan yang lain?
Ulama menyebut bahawa ia tahmid (pujian) dan zikir kepada Allah yang disebut dalam solat. Ia disebut sebagai puji-pujian kepada Allah dengan membuktikan hanya Allah yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu termasuk pergerakan manusia.
Antara sebabnya adalah kerana ia merupakan sunnah daripada Baginda SAW dalam solatnya. Jadi, perbuatan solat tersebut kita perlulah mengikut berdasarkan perbuatan Baginda SAW.
Maksud: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika berdiri untuk menunaikan solat, Baginda akan mengucapkan takbir, kemudian mengucapkan takbir ketika rukuk. Kemudian, Baginda mengucapkan Sami’allahu liman hamidah dan ketika mengangkat tulang punggungnya dari rukuk dan berada pada kedudukan tegak, Baginda akan mengucapkan Rabbana walakal hamd. Lalu Baginda mengucapkan takbir ketika turun hendak melaksanakan sujud, bertakbir ketika mengangkat kepala (dari sujud). Kemudian, takbir ketika akan sujud (kedua), lalu takbir ketika mengangkat kepala (dari sujud kedua). Baginda melakukan itu semua di dalam solat sehingga selesai dan Baginda bertakbir ketika berdiri dari dua rakaat setelah duduk (tasyahud awal).” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 786)
Ulama juga menjelaskan bahawa ucapan ini memberi makna yang khas sebagaimana daripada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Jika imam mengucapkan sami’allahu liman hamidah, maka ucapkanlah rabbana lakal hamd. Barangsiapa yang ucapan tersebut bersesuaian dengan ucapan malaikat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i, No. 1171)
Imam Al-Khatabi RA menjelaskan mengenai hadis ini yang menyebut bahawa ucapan sami’allahu liman hamidah adalah untuk meminta keampunan dari Allah SWT di atas dosa yang dilakukan sama ada di dalam solat mahupun di luar solat.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlulah mengikut sunnah daripada Rasulullah SAW di dalam solat yang mana perlu dilakukan itu.
Sumber: TZKRH.COM