Mengapa Membaca Surah Al-Ikhlas Dinilai Seperti Membaca Sepertiga Quran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tahukah anda bahawa selain daripada nama Al-Ikhlas, surah ini mempunyai 19 nama lain lagi seperti At-Tafrid, Al-Tajrid, At-Tauhid dan An-Nisbah.

Ia ada diriwayatkan oleh Imam Fakhruddin al-Razi melalui kitabnya. Namun, ia lebih masyhur dengan panggilan Al-Ikhlas dan sering disebut dengan nama tersebut.

Mengapa demikian? Imam Fakhruddin menyebut bahawa, namanya sesuai dengan manusia yang membaca surahnya yang akan meyakini isi kandungannya dan menjadikannya ikhlas dalam menjalankan agama Allah.

Manakala, Syeikh Muhammad al-Tahir pula menyebut bahawa ayat-ayat dalam surah ini mengajar manusia untuk yakin dengan Allah sekali gus menjadikan akidahnya teguh dan bebas daripada perbuatan mensyirikkan Allah.

Inilah yang lebih utama dan perlu sentiasa dijaga kerana akidah seseorang itu sangat penting dan boleh menentukan gaya hidupnya.

Disebutkan juga dalam beberapa riwayat bahawa kelebihan membaca surah ini ialah akan diganjari pahala sama seperti membaca satu pertiga Al-Quran.

Baginda SAW bersabda:  “Apakah salah seorang di antara kalian merasa lemah untuk membaca sepertiga Al-Quran pada satu malam?” Maka, mereka berkata: “Itu berat bagi kami wahai Rasulullah. Siapakah di antara kami yang sanggup melakukannya?” Kemudian, Baginda berkata: “Surah Al-Ikhlas sama dengan sepertiga Al-Quran.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5051)

Hebatnya kelebihan di sebalik surah ini. Namun, apakah maksud di sebalik hadis ini dan mengapa membaca surah ini seperti diganjari satu pertiga Al-Quran?

Bacaan Yang Senilai Dengan Pahala adalah kita perlu faham bahawa, apabila diibaratkan sama dengan membaca sepertiga Al-Quran, maka ia adalah nilai pahala yang diperoleh itu seolah-olah kita membaca sepertiga darinya.

Hal ini juga bermaksud, ia tidak senilai dengan amal. Contohnya, jika anda bernazar untuk membaca satu pertiga Al-Quran, maka anda perlu membacanya. Tidak boleh membaca surah Al-Ikhlas bagi melakukan nazar tersebut.

Allah memberi ganjaran pahala dalam pelbagai bentuk dan balasan kepada apa yang dilakukan amat luas serta banyak.

Ia adalah sesuai dengan hikmah yang Allah ingin tujukan kerana sifat Allah Maha Kaya dan Maha Pemurah.

Apa Istimewanya Surah Al-Ikhlas:

Imam al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Nilai 1/3 Al-Quran difahami sebahagian ulama sesuai dengan makna zahirnya. Mereka berkata bahawa surah Al-Ikhlas senilai dengannya kerana memiliki kandungan dan makna dari 1/3 Quran. Isi Al-Quran adalah mengenai hukum, berita dan tauhid. Sementara surah Al-Ikhlas meliputi pembahasan tauhid dan dinilai 1/3 darinya.” (Fathul Bari, 9/61)

Ulama berpendapat bahawa kandungan surah Al-Ikhlas meliputi perihal tauhid dan bercerita mengenai siapa Allah. Jadi, ia dinilai sebagai meliputi satu pertiga kandungan Al-Quran.

Seperti yang disebut ulama, isi kandungan Al-Quran meliputi 3 perbahasan, iaitu:

a. Hukum: Meliputi ayat perintah, larangan serta berkaitan halal dan haram.

b. Janji dan ancaman: Ayat yang mengupas mengenai syurga dan neraka, balasan di atas setiap amalan, kisah-kisah orang soleh dan hukuman yang diperoleh oleh orang yang sebaliknya.

c. Allah: Menjelaskan perihal Allah seperti nama dan sifatNya.

Justeru, apabila dilihat kepada surah Al-Ikhlas, ia membicarakan mengenai perihal Allah dan tauhid kepadaNya.

Mafhum: “Katakanlah (wahai Muhamamd): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tiada ada sesiapa pun yang serupa denganNya.” (Surah Al-Ikhlas, 112-1-4)

Justeru, dapat difahami bahawa kehebatan dan keunikan surah Al-Ikhlas kerana ia merangkumi perihal tauhid yang membantu meneguhkan keimanan dan akidah manusia.

Pahala membacanya adalah sama seperti membaca sepertiga Al-Quran, namun ia bukan bermaksud amalannya yang sama.

Sumber: TZKRH.COM