Mengapa Tidak Boleh Berada Di Luar Rumah Apabila Senja

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pada zaman kanak-kanak, kita akan bermain sepuas hati untuk mengenal dunia. Tetapi apabila menjelang senja, ibu atau ayah akan memanggil kita untuk masuk ke dalam rumah, paling kurang satu jam sebelum masuknya waktu Maghrib.

Ada juga yang memesan, apabila Maghrib, elakkan berada di luar rumah. Katanya, ia adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini kerana Maghrib merupakan waktu syaitan keluar berkeliaran.

Persoalannya ialah, adakah benar perihal ini atau ia sekadar kata-kata orang tua dulu bagi mengelakkan anak-anak lalai dan terus leka di luar rumah?

Terdapat sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Jabir RA, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3304)

Dalam hal ini, jumhur ulama bersetuju bahawa Maghrib merupakan waktu syaitan dan jin berkeliaran. Justeru, manusia disuruh untuk menjaga anak-anak mereka daripada turut berkeliaran di rumah. Hal ini bagi mengelakkan anak-anak diganggu daripada pengaruh buruk ini.

Syeikh Mustafa Al-‘Adawi berkata, hal ini sama juga dengan binatang buas atau yang menganggu yang akan keluar pada malam hari. Disebabkan itu, kita perlu menjaga keselamatan diri sama ada dari segi fizikal mahupun rohani.

Justeru, salah satu cara untuk kita menjaga diri daripada terkena keburukan syaitan ialah dengan menjaga adab-adab kita untuk keluar rumah. Jagalah diri dan anak-anak anda daripada perkara yang tidak diingini.

Sumber: TZKRH.COM