Tanggungjawab menjadi pemimpin adalah amanah yang berat yang perlu dilaksanana secara telus. Tidak semua orang ditakdirkan untuk menjadi pemimpin dan bagi siapa yang menerimanya, dia perlulah bersedia melaksanakan segala tugas yang dipertanggungjawabkannya. Hakikatnya, menjadi pemimpin itu bukanlah satu kemuliaan, sebaliknya ia datang dengan segala macam beban untuk dilunaskan. Menjadi pemimpin juga bererti seseorang sedia berkorban banyak benda termasuk masa dan harta demi apa yang dipertanggungjawabkannya.
Masyarakat akan melantik pemimpin yang mereka percaya dapat membantu mereka. Berdasarkan kepercayaan orang ramai terhadap mereka, maka menjadi pemimpin sangat memerlukan usaha yang keras, minda yang kreatif dan inovatif. Bahkan seseorang pemimpin itu perlu mempunyai ilmu kepimpinan dan ilmu keagamaan bagi membantu seseorang itu untuk memimpin masyarakat.
Jika seseorang yang menjadi pemimpin tidak melaksanakan amanahnya dengan baik, khuatir bahawa dia tidak akan mendapat
Rasulullah bersabda maksudnya: “Pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Demikianlah betapa besar dan beratnya tanggung jawab seorang pemimpin yang diamanahkan Allah kepadanya kuasa kepemimpinan untuk menerajui rakyatnya ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat. Pemimpin yang baik adalah seorang pemimpin yang sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat yang dipimpinnya dan tidak sekali-kali mengutamakan kepentingan dirinya, keluarganya mahu pun kerabat terdekatnya.
Lebih daripada itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu.” (Hadis Riwayat Abu Na’im dan Ibnu Babuwaih)
Rasulullah Tauladan Pemimpin Terbaik
Pernah satu hari, Saidatina Aisyah kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan untuk dimakan bersama dengan baginda. Di dapur tidak ada apa-apa bahan yang boleh dimasaknya kecuali segenggam gandum. Akhirnya, gandum yang sedikit itulah yang dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah.
Tatkala Rasulullah hendak makan, tiba-tiba dari depan pintu rumahnya datang seorang mengucapkan salam, iaitu seorang lelaki yang kurus kering tubuhnya dan pakaiannya nampak lusuh. Dia pun berkata: ‘Ya Rasulullah! Saya ini orang miskin. Kami sekeluarga dalam beberapa hari ini menahan lapar kerana kami tidak memiliki apa-apa lagi untuk dimakan. Oleh kerana itu, tolonglah kami…’
Rasulullah hanya terdiam dan baginda tidak tahu bagaimana dia harus menjawab kerana baginda sendiri pun tidak memiliki apa-apa. Akhirnya baginda berkata: “Wahai saudaraku! Aku pun hari ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan kecuali sekeping roti bakar. Namun, kalau kamu mahu menerimanya, dengan senang hati akan aku berikan kepadamu. “
Saidatina Aisyah tidak senang hati kerana tidak ada makanan lagi yang dapat mereka berdua makan pada hari itu.
Lalu Aisyah berkata: “Mengapa Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri? “
Baginda menjawab: “Wahai isteriku! Aku adalah pemimpin rakyatku. Kewajipanku adalah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Ingatlah, bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah bertanya kepadaku: Wahai Muhammad! Mana tanggung jawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang? “
Begitulah contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin. Seorang pemimpin berkewajipan untuk memberikan layanan dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang berada di bawah pimpinannya.
Pendek kata, kebahagiaan dan kesengsaraan rakyat merupakan cermin kejayaan atau kegagalan pemimpin berkenaan.
Keadaan ini amat berbeza dengan realiti masyarakat dewasa ini yang rata-rata ramai manusia yang tertipu dengan kekuasaan sehingga mereka sanggup berusaha untuk mendapatkannya dan meraihnya dengan berbagai taktik dan cara biarpun dengan saluran yang kotor dan terlarang sekalipun. Kadang-kadang menyembunyikan agama, keyakinan dan tidak kurang pula ada yang sanggup mempermainkan agama demi kepentingan politiknya. Sedangkan Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras terhadap umatnya melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya kalian semua berlumba-lumba untuk mendapatkan kekuasaan padahal pada hari akhirat nanti akan menjadi penyesalan kamu sekalian. Berbahagialah orang yang tidak mengejarnya dan celakalah orang yang berlumba-lumba mendapatkannya.” (Hadis Riwayat Jama’ah)
Dalam konteks ini, kekuasaan dan amanah kepemimpinan yang dimiliki seseorang manusia jika tidak dilandasi dengan ketakwaan kepada Allah dan kesedaran bahawa kuasa itu adalah amanah daripada Allah yang sifatnya amat terbatas dan merupakan amanah yang harus dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya kelak di kemudian hari, maka dia akan cenderung berlaku zalim, sombong, menindas rakyatnya, mengamalkan kronisme, rasuah dan pelbagai amalan keji yang lain. Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya supaya jangan tersalah pilih pemimpin daripada kalangan mereka.
Sabda baginda SAW maksudnya: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Ringkasnya, kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian yang termetri di antara seorang pemimpin dengan masyarakat di bawah pimpinannya, tetapi juga merupakan satu ikatan perjanjian yang suci antaranya dengan Allah dalam menjunjung titah dan perintah Ilahi dan menjauhi daripada segala larangan-Nya. Seorang pemimpin yang sebenar akan berkhidmat kerana Allah dan akan berjuang menegakkan keadilan Islam demi kesejahteraan hidup rakyatnya.