Sering kita dengarkan seseorang itu perlulah bersyukur dengan apa yang ada. Kata-kata ini mungkin kelihatan ringkas dan biasa namun ketahuilah tidak semua orang boleh hadirkan rasa syukur dalam diri mereka.
Setiap perkara yang diperoleh, pasti ada sahaja kelemahan yang dilihat dan itulah yang membuatkan sesetengah manusia kurang rasa bersyukur.
Bersyukur bukanlah bermaksud kita menerima dengan hati yang pasrah semata-mata, namun kita percaya bahawa Allah akan memberi lebih lagi jika kita meletakkan usaha melebihi hari ini.
Dengan bersyukur, hati kita akan menjadi mudah untuk mencapai ketenangan dan fikiran kita akan lebih terbuka untuk memandang ke hadapan bagi mengembangkan lagi diri kita ke arah yang lebih baik.
Maksud: “Yang namanya kaya (ghina’), bukanlah dengan banyaknya harta (atau banyaknya kemewahan dunia). Namun, yang namanya ghina’ adalah hati yang selalu merasa cukup.” (HR Bukhari, No. 6446)
Jika anda bertanya mengapa sukar untuk merasa bahagia sedangkan jika dilihat pada diri sendiri, anda sudah punya segalanya. Kehidupan yang baik, gaji yang mampu menanggung diri sendiri dan keluarga dengan cukup serta pasangan yang memahami.
Namun, kenapa seolah-olah kebahagiaan tidak dapat dikecapi oleh diri sendiri?
Mungkin, ada satu perkara yang anda terlepas pandang, iaitu sejauh mana anda bersyukur. Apabila anda bersyukur, lebih mudah untuk menjemput kebahagiaan terhadap diri sendiri.
Dengan itu, lebih mudah untuk anda membahagiakan orang lain juga kerana kebahagiaan itu bukan datangnya dari anda sahaja namun juga dari orang sekeliling.
Sebagaimana pepatah Arab ada menyebut: “Manusia yang paling bahagia adalah yang sentiasa membuat orang sekeliling mereka bahagia.”
Justeru, langkah awal untuk menjemput kebahagiaan adalah dengan belajar erti syukur dengan setiap perkara yang dicapai. Dengan itu, hati kita akan menjadi tenang dan memudahkan urusan kita dalam melakukan setiap perkara.
Sumber: TZKRH.COM