Pejam celik kita sudah pun meninggalkan bulan Rejab dan kini berada di bulan Syaaban. Ia bermakna kurang lebih sebulan, seluruh umat Islam akan menyambut Ramadan yang saban tahun ini dinanti dengan penuh kegembiraan dan pengharapan.
Di samping itu, antara doa yang tidak lekang di bibir Nabi SAW dan beliau diajarkan kepada kita ialah “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah (berkatilah) kami pada bulan Ramadan.”
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Musnad Imam Ahmad ini, dapat difahami bahawa ‘persediaan’ sebelum tibanya bulan Ramadan adalah lebih penting berbanding ‘menyambut’ kedatangan bulan itu sendiri, sehingga Baginda SAW menuntut kepada kita supaya mengamalkan doa terbabit bermula daripada bulan Rejab dan meneruskannya sehingga Ramadan tiba.
Kesegiaan Ramadan Salafussoleh
Maal bin Fadhl menceritakan dalam kitab Lataif al-Maarif mengenai tentang orang-orang soleh pada zaman dahulu telah melakukan persediaan awal sebelum Ramadan iaitu berdoa.
Mereka memohon kepada Allah SWT enam bulan lebih awal supaya Allah sampaikan mereka ke dalam bulan Ramadan dalam keadaan yang paling terbaik dari segi rohani (iman) dan jasmani (kesihatan fizikal). Mereka turut meminta supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Malah, mereka berdoa pula selama enam bulan selepas itu supaya Allah menerima segala amalan yang sudah dilakukan.
Itu keadaan sahabat dan salafussoleh dalam melakukan kesiagaan menghadapi Ramadan. Walaupun mereka sudah terkenal dengan orang yang kuat dan banyak beribadah, namun mereka tetap berdoa supaya diberi pertolongan untuk melakukan ibadah.
Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Nasaie, daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban.” Nabi SAW berkata: “Manusia sering lalai akan bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang mana diangkat amalan-amalan kepada Allah SWT, maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”
Sabda Nabi SAW ini memberikan kita gambaran mengenai keadaan umatnya apabila hampir kepada bulan Ramadan. Rata-rata umat Islam lebih fokus kepada ‘sambutan’ berbanding ‘persediaan’.
Sepertimana dapat kita lihat, masjid-masjid mula dihiasi dengan lampu berwarna-warni, kain rentang sambutan dengan pelbagai ucapan mula dilihat bergantungan dan seperti tahun-tahun sebelumnya di Malaysia, tapak bazar akan disediakan di seluruh pelusuk negeri. Tidak ketinggalan restoran ternama dan hotel bertaraf antarabangsa akan mula mempromosikan program berbuka puasa dengan pelbagai tawaran istimewa. Televisyen dan radio turut memainkan peranan mereka dalam membuat hebahan dan menyusun siaran.
Perkara yang dilakukan sememangnya tidak salah kerana mungkin diadakan dengan niat untuk menyemarakkan rasa gembira dan menghangatkan suasana bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia. Bagaimanapun, ia seharusnya tidak melalaikan kita untuk melakukan perancangan dan persediaan kendiri yang rapi supaya keberkatan yang dibawa oleh bulan Ramadan dapat digarap dengan sebaiknya.
Perbaiki Ilmu, Tingkatkan Iman
Nabi SWT bersabda daripada Abu Hurairah RA: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Syarat utama puasa diterima adalah seseorang itu mesti beriman kemudian diiringi dengan ihtisab (mengharap balasan baik daripada Allah). Pengharapan terbina atas dasar iman dan ilmu. Iman manusia sudah tentu ada turun dan naiknya. Maka, persiapan iman sebelum masuk ke bulan Ramadan adalah amat penting dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Iman yang benar perlu kepada ilmu yang benar. Allah SWT berfirman dalam Surah, al-Anbiya’, Ayat 7, bermaksud: “Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”
Oleh yang demikian, ini adalah waktu yang terbaik untuk kita mempelajari dan mengulangkaji semula hukum-hukum mengenai amalan ibadah di bulan Ramadan. Wajib bagi setiap mukmin itu melakukan ibadah dengan berlandaskan ilmu yang betul, bukan sekadar ikutan. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadan tiba supaya puasa kita benar-benar diterima dan mendapat ganjaran oleh Allah SWT.
Begitu juga dengan bacaan al-Quran, usaha untuk memperbaiki bacaan seharusnya sudah dilakukan sebelum kedatangan Ramadan kerana bulan Ramadan adalah bulan untuk kita pecut selajunya.
Seiring dengan persiapan fizikal dan tubuh badan, kita juga perlu mempersiapkan mental dan rohani kita bagi menghadapi Ramadan. Melakukan pembacaan mengenai teknik tazkiyatun al-nafs (penyucian jiwa) dan menghadiri majlis ilmu yang membincang perkara ini akan membantu kita bersiap siaga untuk melaksanakan ketaatan sepanjang bulan Ramadan.
Sebagai kesimpulan, mari sama-sama kita merancang agenda persiapan dan aktiviti ibadah kita sebelum dan sepanjang Ramadan supaya kita dapat memanfaatkan sebanyak mungkin masa kita di bulan mulia iaitu Ramadan.
Sumber: HARIAN METRO