MERCU TANDA PITAS2030 : Pusat Cari kerja (PCK)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) memperkenal platform Pusat Cari Kerja (PCK) yang beroperasi di bawah Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) bertujuan bagi memperluaskan peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, melalui PCK ini rakyat boleh datang ke PCK ini dengan dua tujuan iaitu samada mencari peluang kerja ataupun pihak majikan nak laporkan peluang pekerjaan yang ada.

Tambahnya, PCK ini beroperasi secara “office hour” yang memudahkan rakyat untuk datang tanpa menunggu program Outreach dianjurkan oleh kerajaan negeri seperti sebelum ini.

“Alhamdulillah, permohonan kita untuk mendapatkan satu bangunan kita sendiri untuk melaksanakan PCK ini diluluskan oleh kerajaan dan sekarang ini dah dapat serahan secara rasmi iaitu bangunan di depan Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang dulu dikenali sebagai bangunan pelancongan diserahkan THRDC untuk mewujudkan Gerbang Kerjaya PCK”, katanya kepada pemberita dalam sesi temubual di Wisma Darul Iman.

Tambah beliau lagi, dengan platform ini mampu mewujudkan satu sistem memperluaskan lagi iklan mengenai kekosongan peluang pekerjaan yang ada di setiap DUN di seluruh negeri Terengganu.

Menurut beliau lagi, sesi temuduga yang diadakan di PCK ini juga tidak hanya dijalankan secara fizikal, malah sesi temuduga turut dilangsungkan secara maya melalui beberapa bilik disediakan yang dihubungkan terus ke pihak sumber manusia syarikat-syarikat berkenaan untuk mengadakan temuduga secara berkala.

– UNIT BERITA MANIS FM