Messi Terlepas Dua Aksi Miami

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

FORT LAUDERDALE, Amerika Syarikat: Lionel Messi akan terlepas dua aksi Inter Miami berikutnya dalam Major League Soccer selepas cedera buku lali kanannya pada final Copa America, kata jurulatih Miami Gerardo Martino.

Bintang Argentina berusia 37 tahun itu terjatuh pada minit ke-64 ketika kemenangan 1-0 ke atas Colombia, terhincut-hincut keluar padang dengan kamera menunjukkan bengkak besar di buku lalinya.

Messi akan terlepas perlawanan Inter Miami di laman sendiri menentang Toronto FC pagi esok dan menentang Chicago Fire pagi Ahad ini.

“Akan ada ujian lanjut untuk mengenal pasti tahap situasi,” kata Martino.

Messi, dalam hantaran Instagram, berterima kasih kepada mesej dan sokongan yang diterimanya selepas perlawanan pagi kelmarin.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kerana mesej dan ucapan. Saya sihat, syukur kepada Tuhan dan saya harap boleh kembali ke tengah padang tidak lama lagi menikmati apa yang saya suka lakukan,” tulis Messi.

Dengan 14 kemenangan dan lima seri daripada 23 perlawanan, Inter Miami menghuni tangga kedua dalam MLS dan Eastern Conference dengan 47 mata, satu mata di belakang Cincinnati, yang membelasah Miami 6-1 pada 6 Julai lalu.

Inter Miami akan mula mempertahankan kejuaraan Piala Liga-Liga menentang kelab pencabar dari MLS dan Mexico minggu depan. – AFP