LOS ANGELES – Pemain gantian babak kedua Santiago Gimenez meledak gol kemenangan dua minit sebelum tamat untuk membantu Mexico menang 1-0 ke atas Panama pada final Piala Emas CONCACAF awal pagi tadi sekali gus meraih rekod kejuaraan kesembilan buat ‘El Tri’.
Edson Alvarez mengumpan kepada Gimenez di bahagian tengah sebelum pemain berusia 22 tahun itu memecut laju melepasi dua pemain pertahanan dan menyepak masuk menerusi kaki kirinya pada minit ke-88 yang menggembirakan penyokong mereka di Stadium SoFi.
“Ia sukar untuk digambarkan,” kata pemain kelahiran Argentina, Gimenez selepas perlawanan.
“Satu-satunya perkara yang saya fikirkan adalah rasa cinta dan ketaksuban terhadap mereka yang sering bersama saya. Tuhan, keluarga saya dan rakyat yang hadir hari ini, 75,000 orang. Kami perlu memberi mereka trofi ini.”
Kemenangan itu juga amat dinanti-nantikan oleh Mexico, yang gagal melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia tahun lalu.
Ia juga menafikan pasukan bukan pilihan Panama, yang mengejutkan tuan rumah Amerika Syarikat (AS) pada separuh akhir, kejuaraan sulung mereka dalam Piala Emas.
AS memenangi kejohanan dwitahunan itu tujuh kali manakala Kanada sekali.
Mexico berharap kemenangan itu menandakan era baharu buat pasukan itu, yang dipimpin Jaime Lozano selepas Diego Cocca dipecat susulan kekalahan pada Liga Negara-Negara CONCACAF bulan lalu. – BERITA HARIAN