Mexico negara paling bahaya bagi wartawan – Pemerhati

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MEXICO CITY: Mexico menjadi lubuk maut buat pengamal media dengan merekodkan kematian wartawan paling tinggi tahun ini, menurut pemerhati Reporters Without Borders (RSF) semalam.

Pendedahan itu berdasarkan laporan lengkap dengan bukti penculikan, serangan dan penahanan petugas media.

Dalam laporan itu, sebanyak 11 pembunuhan atau hampir 20 peratus jumlah global direkodkan membabitkan petugas media profesional di negara Amerika Latin sejak awal tahun ini sehingga 1 Disember lalu.

“Tekanan daripada masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa serta mekanisma perlindungan pihak berkuasa tempatan tidak mencukupi,” kata RSF.

Kumpulan advokasi kebebasan bersuara itu turut mendokumentasikan lebih banyak lagi insiden pembunuhan petugas media pada tahun ini, menjadikan 2022 tahun paling berdarah dalam sejarah kewartawanan di Mexico.

Berdasarkan angka seluruh dunia pula, RSF merekodkan 57 pembunuhan wartawan menjadikan peningkatan 18.8 peratus pada tahun lalu. Punca utamanya adalah peperangan di Ukraine.

Bagaimanapun, separuh daripada pembunuhan dalam kalangan wartawan direkodkan di benua Amerika Latin.

RSF berkata negara di rantau berkenaan begitu sinonim dengan keganasan antaranya di Haiti, Nicaragua dan Brazil, sekali gus menjadi negara berkenaan paling berisiko untuk menjalankan siasatan berkaitan jenayah terancang, gengsterisme dan rasuah.

Laporan sama turut menyoroti pembunuhan tiga wartawan di Brazil, di tengah-tengah liputan meluas berhubung kegiatan penebangan hutan Amazon dan aktiviti pembalakan haram.

Kejadian itu membabitkan pembunuhan wartawan British bernama Dom Phillips yang menjadi kes paling berprofil tinggi.

Selain itu, organisasi itu juga melaporkan seramai 49 petugas media hilang, manakala 65 yang lain diculik di seluruh dunia. – REUTERS

Sumber: BERITA HARIAN