Masjid merupakan salah satu monumen penting dalam tamadun Islam, masjid dilihat sebagai simbol kehadiran Islam disesebuah kawasan tersebut. Dalam perkembangan sejarah masjid, mihrab merupakan elemen utama yang wajib ada pada bahagian pembangunan masjid tersebut. Komponen ruang dalaman perlu menghadirkan mihrab sebagai pelengkap kepada struktur ruang.
Kehadiran mihrab dalam sesebuah seni bina masjid menyempurnakan pembinaan masjid tersebut. Mihrab tidak hanya terdapat pada bangunan masjid tetapi turut terdapat pada musalla, langgar atau surau.
Lebih unik lagi, terdapat masjid-masjid lama yang menghadirkan tiga mihrab dalam satu-satu masa. Dibahagian kanan mihrab terdapat mimbar tempat imam membaca khutbah, bahagian tengah imam memimpin solat dan bahagian kiri sebagai tempat menyimpan Al-Qur’an.
Mihrab secara umumnya boleh didefinisikan sebagai gedung yang tinggi dan pagar. Menurut sebahagian ulama, mihrab merupakan tempat memerangi syaitan dan hawa nafsu. Istilah mihrab menurut pandangan ini diambil dari perkataan Al-Habru yang ertinya peperangan.
Sementara menurut sebahagian yang lain, tempat dalam masjid itu dinamakan mihrab kerana dalam tempat itu terdapat kebenaran manusia dapat ditempa dalam menghindari diri dari kesibukkan duniawi.
Dalam pembinaan Masjid, Mihrab bermaksud ceruk dinding sebuah masjid yang menunjukkan kiblat iaitu arah Kaabah yang umat Islam perlu menghadapnya sewaktu bersolat.
Mihrab merupakan pusat utama pada pada ruang dalaman masjid dan merupakan bahagian hieraki ruang tertinggi dimana pada bahagian ini terdapatnya mimbar, maqsurah, Qibla dan terletaknya Al-Quran.
Mihrab telah dibina ke dalam dari garisan dinding kiblat dengan bentuk yang berbagai-bagai seperti separuh bulat, selindar menegak atau empat segi bujur. la lebih ketara dengan hiasan geometri dan tulisan ayat-ayat al-Qur’an.
Sejarah mihrab pertama ialah kewujudannya pada era pemerintahan Khalifah Umayyah al-Walid Ibnu Abd al-Malik (705 M hingga 715 M). Dalam sejarah Islam, mihrab yang pertama dibina oleh al-Walid di masjid Jami al-UmawI, Damsyiq. Pada ketika ini hiasan marble, mozaik dan arabes telah digunakan sebagai dekorasi di dinding mihrab.
Semasa era pemerintahan Uthman Ibnu Affan (644 M hingga 656 M), khalifah memerintahkan suatu tanda ditampal pada dinding masjid di Madinah bagi memudahkan penziarah mengetahui arah kiblat untuk bersolat.
Di zaman pemerintahan Mu’awiyah bin Abu Sufyan telah ditetapkan peraturan bahawa setiap bangunan masjid haruslah memiliki mihrab. Menurut al-Muqarizi (767-846H / 1364- 1442M), seorang sejarawan, Qurra’ bin Syarik, telah memerintahkan pembinaan sebuah mihrab pada masjid di Mesir dengan bentuk atap lengkung (Mimbar mujawwaf). Ada pendapat yang menyatakan bahawa Masalama Bin Mukhallad (667-682) atau Abd Aziz bin Marwan (685-704) merupakan individu penting yang mula memperkenalkan mihrab melengkung.
Di Malaysia, mihrab tidak menjadi tumpuan utama dalam seni bina dan komponen ruang dalaman masjid Melayu tradisional. Hal ini berbeza dengan masjid-masjid di Jawa dan kepulauan Alam Melayu yang lainnya. Mihrab menjadi sebahagian komponen utama.
Masjid masjid di Malaysia kurang memberikan perhatian kepada rekabentuk mihrab. Namun bagi masjid di tanah Arab dan Istanbul, mihrab merupakan antara komponen utama yang diberikan perhatian penuh dengan pelbagai hiasan dan ukiran penting dalam rekabentuk dalaman ruang masjid tersebut.
Masjid di Malaysia lebih memberikan tumpuan pada rekabentuk mimbar berbanding mihrab, dimana segala kepakaran pertukangan dapat dilihat pada komponen mimbar.
Rekabentuk mimbar yang terdapat pada masjid-masjid Semenanjung hampir memiliki persamaan dari segi pengaruh dan rekabentuknya dengan masjid-masjid lainnya di kepulauan Alam Melayu. Unsur sebelum Islam dipercayai mempengaruhi rekabentuk mimbar pada masjid-masjid semenanjung.
Sumber :
- Azizul Azli Ahmad dan Dr Aizan Hj Ali @ Mat Zin, Wacana Reka Bentuk Mihrab Masjid Tradisi Nusantara ; Kajian Masjid Semenanjung
- Harian Metro : Seni Mihrab
- Fairuzah Hj. Basri, Jurnal tasawwur Islam : Seni Bina Masjid di Malaysia