PEKAN: Perkhabaran tentang kelulusan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagaikan ‘bulan jatuh ke riba’ bagi isteri penoreh getah, Puan Rozita Abd Rahim, 54, setelah berpuluh tahun berharap memiliki rumah sendiri.
Puan Rozita berkata pendapatan RM500 sebulan hasil suaminya, Encik Zulkifle Junoh, 51, menoreh getah hanya cukup untuk menyara perbelanjaan mereka lima sekeluarga, jauh sekali untuk memperoleh rumah sendiri.
Beliau berkata, keadaan rumah sewa sebelum ini amat uzur dan mengalami kebocoran setiap kali tiba musim hujan.
“Dengan sumbangan rumah ini saya dapat hidup dengan selesa lagi. Rumah dulu memang ada mengalami kebocoran dan dinding buruk.
“Sekarang dapat rumah baru memang bersyukurlah, Alhamdulillah. Terima kasih kepada YAB Menteri Besar kerana mengurniakan rumah ini kepada saya,” katanya selepas Majlis Serah Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Air Hitam, Pekan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah meluangkan masa menyampaikan sendiri kunci rumah tersebut kepada Puan Rozita.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADN), Chini, YB Mohd Shahrim Md Zin dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Puan Rozita sekeluarga turut menerima sumbangan barangan keperluan elektrik bernilai RM2,000 sumbangan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta sumbangan tilam daripada YB Mohd Shahrim.
Sumber: PAHANGMEDIA