MINDEF Kenal Pasti 800 Veteran ATM, Anggota Terjejas Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU LANGAT: Seramai 800 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenal pasti terjejas bencana banjir di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Semua veteran dan anggota berkenaan diberikan sumbangan wang tunai RM500 dan periuk nasi bagi meringankan beban mereka.

Selain itu, mereka turut menerima barangan keperluan harian antaranya berus gigi, sabun, beras, minyak, sardin dan lain-lain daripada sebuah syarikat.

“MINDEF (Kementerian Pertahanan) satu-satunya kementerian yang mewujudkan satu jabatan khas iaitu Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk menjaga kebajikan veteran ATM,” katanya dalam sidang media di Taman Sri Nanding, hari ini.

Bantuan berkenaan adalah tambahan kepada bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada mangsa-mangsa terjejas banjir.

Ikmal Hisham Abdul Aziz menyampaikan sumbangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Nordin Mohammad yang terjejas susulan banjir ketika membuat lawatan kerja sempena program Cakna Veteran ATM di Taman Sri Nanding, Hulu Langat hari ini. - foto BERNAMA
Ikmal Hisham Abdul Aziz menyampaikan sumbangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Nordin Mohammad yang terjejas susulan banjir ketika membuat lawatan kerja sempena program Cakna Veteran ATM di Taman Sri Nanding, Hulu Langat hari ini. – foto BERNAMA

ATM akan mempergiatkan bantuan kepada veteran yang terjejas banjir di bawah program Cakna Veteran ATM.

“Untuk hari ini, kami memberi fokus Taman Sri Nanding dan akan memastikan semua veteran ATM menerima bantuan. Insya-Allah, pada hari Jumaat ini saya akan ke Klang untuk membantu anggota veteran yang berada di sana,” katanya.

Veteran ATM yang terbabit dalam bencana banjir dan memerlukan bantuan boleh berhubung secara terus menerusi portal rasmi JHEV ATM di pautan https://www.jhev.gov.my.

Terdahulu, Ikmal Hisham melawat lima keluarga veteran ATM di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan memberi bantuan kepada mereka.

Sementara itu, veteran ATM Nordin Mohammad, 65, yang juga seorang penerima bantuan itu menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dalam usaha memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya rasa bangga dengan ATM, walaupun saya sudah 22 tahun bersara namun mereka masih menjaga kebajikan kami (veteran) semua,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Sumber: Berita Harian