KUALA TERENGGANU – Kesukaran dialami peniaga dan pengunjung di tapak perniagaan trak makanan jambatan angkat (drawbridge) menunaikan solat pada awal waktu mendorong sekumpulan peniaga trak makanan mengubahsuai sebuah bas mini lama menjadi surau bergerak.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Trak Makanan dan Perkhidmatan Terengganu, Hazim Fadzli Abd Karim, 49, berkata, proses mengubahsuai bas mini model Mercedes 309d Motorhome itu dilakukan secara bergotong royong.
Beliau berkata, surau itu kini telah 90 peratus siap dan sudah digunakan sejak Jun 2020 bagi menampung seramai 10 jemaah pada satu-satu masa dengan jumlah keseluruhan 300 jemaah dalam tempoh sehari.
“Sebelum surau ini siap, kebanyakan peniaga dan pengunjung di sini perlu bergerak sejauh 3 kilometer ke masjid di Seberang Takir untuk menunaikan solat.
“Kami bersyukur dengan adanya surau bergerak ini ia sedikit sebanyak membantu memudahkan para peniaga dan pengunjung di sini menunaikan ibadah solat terutama Asar, Maghrib dan Isyak. Lebih menggembirakan, mereka semua dapat menunaikan solat pada awal waktu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Hazim Fadzli menambah, surau bergerak itu beroperasi pada setiap Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad di tapak perniagaan trak makanan jambatan angkat dan selebihnya akan beroperasi di tapak Foodtruck Panoramik Kuala Terengganun di Dataran Shahbandar.
Katanya, kos membeli dan mengubah suai bas mini dianggarkan berjumlah RM35,000 yang diperoleh hasil sumbangan derma pengunjung dan peniaga di tapak perniagaan trak makanan jambatan angkat.
Katanya, surau bergerak itu dilengkapi penghawa dingin, tempat wuduk, ruang imam, lampu, jam waktu solat serta bumbung bagi ruangan solat pada bahagian luar kenderaan bagi keselesaan pengguna.
“Sebenarnya, ia merupakan sebuah bas yang diubahsuai untuk membawa pelajar sekolah namun dijual pada harga RM10,000 kerana tidak digunakan ketika tempoh PKP tahun lalu.
“Pada peringkat awal kami bercadang untuk mengubahsuai bas ini kepada sebuah trak makanan (foodtrak) pelbagai guna dengan dilengkapi kemudahan dapur namun hasrat itu terbatal susulan pelaksanaan PKP yang membataskan kami untuk berniaga.
“Jadi, sepanjang tempoh PKP dulu kami manfaatkan sepenuhnya masa yang ada untuk mengubahsuai bas mini ini kepada sebuah surau. Tambahan pula, ia memang amat diperlukan oleh pengunjung dan peniaga di tapak perniagaan trak makanan di drawbridge ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut bercadang untuk mebina sebuah lagi surau khusus untuk wanita.
Sumber: Sinar Harian