TANAH MERAH – Hanya mengambil masa 15 minit, sebanyak 850 peket minyak masak satu kilogram (kg) terjual dalam tempoh itu.
Ini selepas kira-kira 1,000 penduduk dari lima kampung iaitu Kampung Jedok, Jedok Tua, Mak Jintan, Banggol Yek dan Bendang Besar ‘mengepung’ pikap yang membawa kotak mengandungi peket minyak masak.
Pada harga RM10 untuk empat peket, jualan borong inisiatif Pejabat Parlimen Jeli bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan 50 kotak minyak masak menerusi pengisian Program Advokasi Gerakan PenggunaMahasiswa (GPS) UMK di Kampung Bendang Besar, di sini.
Seorang suri rumah, Wati Mohamad, 44, berkata peluang mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan direbut memandangkan harga semasa yang di kedai runcit sekitar RM3 hingga RM3.50 sepeket.
Dia yang tidak menjangkakan ada jualan borong minyak masak hari ini, meminjam wang dari jiran yang kebetulan hadir dalam program berkenaan.
“Walau harga yang dijual hari ini kurang 50 sen hingga RM1 sahaja (sepeket), tapi bagi kami orang susah, ia sangat berpatutan.
“Biasanya untuk sebulan, kami tujuh beranak akan menggunakan sekitar tiga peket minyak masak dan adakalanya penggunaannya perlu dicatu untuk berjimat memandangkan kami hanya menoreh getah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagi Wan Noriah Wan Ahmad, 59, dia menunggang motosikal sejauh lapan kilometer dari rumahnya di Kampung Air Kayan semata-mata untuk mengambil peluang membeli minyak masak pada harga murah.
Dia yang mengetahui mengenai jualan borong itu malam tadi, tiba pada jam 10 pagi sebelum jualan diadakan dua jam selepas itu.
“Walaupun dibenarkan membeli hanya empat peket seorang, ia sudah memadai kerana sekurang-kurangnya dapat dirasai semua penduduk,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Zahari Kechik, berkata jualan borong minyak masak bertujuan memberi peluang barangan subsidi itu sampai ke tangan golongan sasar.
Beliau berkata, inisiatif itu sudah beberapa kali dijalankan dan ia akan diteruskan secara berkala bagi memenuhi permintaan rakyat.
“Kita banyak mendengar keluhan rakyat yang mengatakan tiada bekalan minyak masak dan kalau ada sekalipun, ia dijual dengan harga agak mahal.
“Atas dasar prihatin, kami bekerjasama dengan pihak KPDNHEP menjalankan jualan borong minyak masak yang dijual pada harga subsidi untuk memenuhi permintaan rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN