Misi Argzim Berdepan Kuching City

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Selepas cemerlang mempertahankan kubu pasukannya daripada dibolosi Kelantan FC pada penampilan sulungnya musim ini Selasa lalu, bek tengah Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic berazam mahu mengekalkan rekod bersih itu apabila pasukannya bakal berdepan Kuching City FC (KCFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Ahad ini.

Malah pemain beragama Islam kelahiran Montenegro itu berazam mahu menjaringkan gol pertamanya musim ini bagi memastikan skuadnya terus mengekalkan momentum kemenangan ketiga berturut-turut.

Walau bagaimanapun pemain yang sudah empat musim bersama pasukan Pantai Timur itu sedar bukan tugas mudah untuk menjinakkan skuad The Cats terutama pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim adalah jurulatih yang sarat dengan pengalaman selain pernah membimbing pasukan TFC sebelum ini.

“Jika sekali lagi diturunkan jurulatih Tomislav Steinbruckner, sudah pasti sasaran saya adalah untuk mengekalkan prestasi bagi memastikan tiga mata menjadi milik kami lebih-lebih beraksi di tempat sendiri.

“Kejayaan mengekang pintu gol daripada dibolosi skuad The Red Warriors pada penampilan pertama aksi derbi Pantai Timur sebelum ini membuatkan saya begitu puas apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Namun masih banyak yang perlu saya perbaiki, tapi saya tetap percaya mampu melakukan yang lebih baik pada perlawanan akan datang, kami perlu fokus seperti yang kami lakukan ketika menentang Kelantan FC dengan mengikut arahan jurulatih untuk mendapatkan tiga mata lagi kerana ia bukan perlawanan yang mudah.

“Lagipun KCFC adalah pasukan yang baik dengan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim penuh dengan pengalaman, sudah pasti mereka akan memberikan tentangan yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan, harap penyokong dapat memenuhi stadium bagi menyuntik lagi semangat kami ketika beraksi,” katanya yang mahu membuat penampilan kedua musim ini.

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada suku akhir Piala FA tahun lalu menyaksikan TFC menang 4-1, Argzim turut disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Berdasarkan kedudukan terkini, TFC menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 10 mata manakala KCFC di tangga ke-12 dengan mengumpul empat mata.

Sumber: METRO