KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan semua pihak, termasuk sukarelawan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir, supaya mendapatkan stok di luar kawasan terjejas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata saranan itu bagi mengelak berlakunya gangguan rantaian bekalan makanan dan keperluan asas di lokasi yang dilanda banjir sehingga menjejaskan penduduk yang terkesan.
“Nasihat saya, yang pertama jika berlaku banjir, mana-mana individu atau pihak yang mahu menghantar bantuan banjir ke kawasan yang terjejas supaya mendapatkan bekalan itu di kawasan lain.
“Sebagai contoh, kejadian banjir berlaku di Hulu Terengganu, jadi dapatkan barang berkenaan di luar Terengganu, jangan beli dalam rangkaian atau tempat berlaku bencana kerana kita takut berlaku kekurangan.
“Yang kedua, kita harap mereka yang mahu menyalurkan bantuan ini mendapatkan barangan keluaran tempatan ketika membeli bekalan bagi membantu meningkatkan ekonomi usahawan-usahawan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Kampung Beladau Kepong di sini hari ini.
Rosol berkata, kementeriannya turut memberi kebenaran kepada pemborong terpilih daerah (DDW) dan peruncit terpilih daerah (DDR) untuk menyimpan tambahan 30 peratus barang kawalan daripada had simpanan lesen sebagai persediaan menghadapi banjir.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang musim tengkujuh terutama di negeri Pantai Timur yang kerap dilanda banjir.
Sumber : BERITA HARIAN