AMPANG: Sebanyak 30,000 kit ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) akan ditawarkan secara percuma kepada warganegara yang pulang ke tanah air.
Penyediaan kit ujian menggunakan teknologi baharu dari Korea Selatan itu diyakini berupaya mempercepatkan proses saringan dan pengurusan kuarantin, memandangkan ia hanya memerlukan tempoh kurang sejam untuk mendapatkan pengesahan keputusan.
Ketua Pegawai Operasi Asia Coding Centre, Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata penyediaan kit ujian itu dibuat hasil kerjasama dengan Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) menerusi strategi ‘serampang dua mata’.
Selain memperkenalkan teknologi baharu, katanya, kit ujian berkenaan bakal menjadi pemangkin ke arah pembukaan semula sektor pelancongan di Malaysia secara selamat, strategik dan lebih dinamik.
“Ujian ini hanya ambil masa antara 45 minit hingga sejam, berbanding RT-PCR konvensional yang digunakan ketika ini iaitu lima hingga lapan jam.
“Sekiranya tempoh saringan berupaya dipercepatkan, kaedah pengurusan kuarantin, kawalan wabak dan pembendungan varian berbahaya mampu dilakukan dengan lebih tuntas.
“Hal ini kerana, keputusan RT-PCR bagi pengembara luar ketika ini mengambil masa kira-kira tiga hari untuk disahkan, justeru memperlahankan aspek kawalan wabak.
“Menerusi teknologi baharu ini, keputusan RT-PCR diperoleh dalam tempoh singkat, sebelum Kementerian Kesihatan (KKM) dapat melakukan genotyping assay dan ujian jujukan penuh (WGS) bagi meneliti jenis varian,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menerusi persetujuan dengan KKM, Khalid berkata dua lorong di balai ketibaan akan diwujudkan, masing-masing untuk kegunaan warganegara yang bakal diberikan kit saringan percuma dan warga asing dikendalikan KKM.
Jelasnya, tarikh operasi pemberian kit saringan percuma itu kini dalam peringkat akhir penelitian oleh KKM.
“Kita sudah dapat dua kali kelulusan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), masing -masing pada Oktober 2020 serta September 2021.
“Aspek ketepatan dan sensitiviti RT-PCR menggunakan teknologi Korea Selatan ini sama seperti RT-PCR konvensional,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MiTDA, Kapten Mahdzir Mansor, berkata kerjasama untuk menyediakan 30,000 kit saringan percuma itu membabitkan peruntukan RM7.5 juta.
Bersandarkan usaha sama strategik itu, beliau menaruh keyakinan bahawa matlamat Malaysia untuk meraih resit pelancongan menjangkau RM100 bilion yang sepatutnya dicapai pada 2020, berupaya dilakar dalam tempoh terdekat.
“Kita perlu bersiap sedia dari segi semua aspek supaya sektor pelancongan Malaysia dapat kembali dibuka secepat mungkin, secara selamat dan terkawal,” katanya.
Sumber: Berita Harian