KUANTAN – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 menyaksikan penglibatan Kerajaan Negeri Pahang melalui semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) membawa pelbagai produk terkenal negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan satu platform terbesar dan terbaik bagi mengangkat pelbagai produk istimewa yang ada di negeri Pahang.
“Kita ada booth sendiri yang dipanggil Pavilion Pahang dan di situ banyak aktiviti yang dianjurkan bermula 4 Ogos hingga 14 Ogos ini. Antara aktiviti yang dianjurkan ialah slot masakan, slot Pahang Kita (kuiz percutian), demo pemprosesan vanila, slot kebudayaan, slot pertandingan rakyat, slot seni silat dan pelbagai lagi.
“Ini adalah antara satu usaha terbesar di peringkat nasional dalam memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk dari negeri Pahang yang mungkin tidak ada di negeri lain tapi ada di negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)selepas merasmikan pelepasan kontinjen Pahang sempena Pameran MAHA 2022 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau turut percaya penyertaan di dalam MAHA 2022 ini dapat mengangkat kepelbagaian produk di negeri ini termasuk lokasi-lokasi menarik yang mampu menarik minat pelancong.
“Saya percaya pengisian di Pavilion Pahang akan membuatkan ramai pelancong berminat untuk datang ke negeri Pahang sendiri untuk melihat keistimewaan yang tersedia.
“Harapan saya ialah produk-produk yang dibawa dapat diterima dengan baik oleh pengunjung-pengunjung, mereka dapat mencuba, membeli dan seterusnya secara berterusan menggunakan produk-produk yang mereka beli atau yang mereka makan dan sebagainya,” katanya.
Sumber : PAHANGMEDIA